GEORGETOWN — Kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak tanpa mengira kedudukan atau parti politik sekiranya menyentuh sentimen isu 3R (raja, agama dan kaum), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata tindakan tegas antaranya siasatan, tangkapan, dakwaan dan hukuman juga akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang mencabar prinsip perlembagaan termasuk menyentuh hak orang Islam dan bukan Islam di negara ini.
“Ini penting supaya kita faham… isu-isu kalau betul ada masalah seperti masalah stoking (tertera kalimah Allah), serius bagi umat Islam, (jadi) tangkap, dakwa, kita jalan terus. Jangan kita guna isu ini atau isu lain untuk menghasut, itu yang penting sama ada orang Islam atau bukan Islam.
“Saya perlu tekankan kita tidak akan tolak ansur, tidak peduli siapa, kedudukan dia atau parti mana jangan diugut sekiranya diambil tindakan apa lagi sekiranya menyentuh 3R, ini kalau menyentuh kedudukan Raja-Raja Melayu terutamanya isu dibangkit oleh Majlis Raja-Raja… jangan tolak ansur, institusi negara, tonggaknya mesti dipertahan,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Taklimat Pembangunan Pulau Pinang di Komtar di sini hari ini ketika mengulas isu membabitkan Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh.
Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata Muhamad Akmal tidak ditangkap oleh polis sebaliknya dipanggil untuk disiasat.
Terdahulu, Dr Muhamad Akmal memberi keterangan lebih dua jam di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu antaranya mengenai laporan berkait ceramah beliau di Kelantan baru-baru ini.