Nation
199

Kerajaan tidak sorok, manipulasi angka kes Covid-19 : Saifuddin

Kuantan – Kerajaan bersifat terbuka dan sama sekali tidak menyorok atau memanipulasi angka kes COVID-19, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata segala statistik mengenai bilangan kes positif COVID-19 dikongsi saban hari dengan pecahan kategori tertentu supaya rakyat mengetahui situasi sebenar.

“Kita sebut semua yang kita tahu… kita tak simpan dan sorok. Saya yakin sistem kesihatan kita masih mampu menangani kes COVID-19 buat masa ini dan disebabkan itu, banyak negeri dapat beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana kemampuan hospital di negeri berkenaan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program e-Tuisyen Indera Mahkota secara dalam talian hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sedang giat dijalankan sebagai usaha mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 di negara ini.

“Proses pemberian vaksin berjalan lancar setakat ini dengan lebih 400,000 dos vaksin telah diberikan selama beberapa hari ini. Ia angka mustahak, dengan ini kita percaya sistem kesihatan mampu menangani kes COVID-19.

“Malah kalau lihat laporan media luar negara juga ada menyebut proses vaksinasi Malaysia adalah antara terpantas di dunia, kita berada sebaris dengan negara maju yang lain,” katanya.

Saifuddin juga sekali lagi mengingatkan semua pihak supaya tidak menularkan video atau gambar yang belum terbukti kesahihannya.

“Kalau hendak tular dengan menyebarkan kebaikan tak apa, jika sebaliknya hentikan, sebarkan sesuatu yang boleh membantu dan bermanfaat,” katanya.

Mengulas pemberian vaksin kepada penggiat seni, beliau berkata pihaknya sudah membuat pemohonan kepada Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi.

Mengulas mengenai Program e-Tuisyen secara percuma itu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, berkata ia melibatkan penyertaan 1,674 pelajar Tingkatan 4 dan 5 dari 17 sekolah di kawasan parlimen berkenaan.

Beliau berkata setakat ini, hanya enam subjek yang ditawarkan iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan dan Fizik dengan penglibatan enam guru.

“Penambahan subjek dan guru akan dibuat mengikut keperluan dan sekiranya ada pihak lain atau Ahli Parlimen yang berminat, kita boleh berkongsi cara pelaksanaan e-Tuisyen ini. Kita sedia bekerjasama kerana kaedah secara dalam talian ini semakin mendapat sambutan,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu