Kuala Lumpur Post

Social

Kereta dipandu lelaki Switzerland rempuh stesen minyak

IPOH — Sebuah kereta merempuh cermin kaca di sebuah stesen minyak di Taman Canning di sini, hari ini, gara-gara pemandunya seorang lelaki warga Switzerland dikatakan mengalami kekejangan kaki semasa hendak mengisi minyak.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pada kejadian 10.30 pagi itu, lelaki berusia 77 tahun itu yang berada di satu daripada pam minyak membetulkan kenderaannya untuk mengisi minyak sebelum secara tiba-tiba mengalami kekejangan pada kaki kanan.

“Akibat daripada itu, pemandu berkenaan dia tidak dapat mengawal kenderaannya hingga terbabas ke hadapan lalu melanggar motosikal jenis Yamaha yang diparkir dan merempuh dinding kaca premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini

Bagaimanapun katanya, penunggang motosikal berusia 29 tahun tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, kejadian itu turut menyebabkan seorang wanita yang berada di situ cedera di kaki kanan dan kes diklasifikasikan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Video dan gambar kejadian itu tular di laman Facebook sejak petang semalam.

Tags: ,