Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Social

Kereta terjunam dalam sungai: Mayat tiga beranak ditemui berpelukan

BALING —Tiga beranak yang menaiki sebuah kereta dipercayai terbabas sebelum terjunam ke sungai di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling, petang semalam, ditemukan lemas awal pagi tadi.

Mayat Masyitoh Ibrahim, 37, yang juga guru agama di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Selarong, bersama dua anaknya, Muhammad Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Muhammad Ziyad Haziq, 5, dijumpai kira-kira jam 3.30 pagi di bahagian belakang kereta terbabit yang tenggelam di dasar sungai berkenaan.

Kereta jenis Proton Persona itu ditarik keluar dari dasar sungai pada kedalaman hampir lima meter, dengan bantuan kren sebelum mayat ketiga-tiga mangsa ditemukan dalam keadaan seakan-akan saling berpelukan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron, berkata terdahulu pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya serta Baling melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejurus menerima panggilan pada jam 6.42 petang berhubung insiden itu.

Beliau berkata, pasukan kemudian berjaya mengesan kedudukan kereta terbabit di dasar sungai itu kira-kira jam 11 malam tadi.

“Anggota melakukan penandaan di tempat yang dikenal pasti sebelum anggota penyelam daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang melakukan selaman, mengesahkan kenderaan itu berada di lokasi.

“Susulan itu, proses menaikkan kenderaan terbabit dilakukan mulai jam 11.30 malam hingga 3.30 pagi tadi. Kereta itu kemudian berjaya dibawa naik ke atas jambatan.

“Tiga beranak terbabit ditemukan tidak tersepit di bahagian belakang kereta itu. Mayat kesemua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya kepada pemberita di lokasi pencarian, awal pagi tadi.

Syufaat memaklumkan, mayat Mashitoh berjaya dikeluarkan pada jam 3.32 pagi diikuti kedua-dua anaknya selang dua minit kemudian, dalam operasi yang turut dibantu penduduk kampung, polis, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada mulanya pasukan menghadapi cabaran di mana anggota telah mengikat rantai besi pada mata kren tetapi ia tercabut akibat arus deras.

Justeru, katanya, cubaan kedua dilakukan dengan melilit rantai besi itu pada tayar kereta dengan lebih ketat sebelum kenderaan itu berjaya dinaikkan.

“Ketika ditemukan, semua mangsa dalam kereta berkenaan nampak seakan-akan saling berpelukan, dipercayai apabila kenderaan itu terhempas ke sungai,” katanya.

Difahamkan, mayat tiga beranak itu kemudian dihantar ke Hospital Kulim untuk tindakan lanjut, lapor BH Online.

Tags: , , ,