Nation
170

Kerja baik pulih kabel terbakar Jambatan Pulau Pinang siap Jumaat ini

George Town – Kerja membaiki kabel voltan tinggi yang terbakar di bawah Jambatan Pulau Pinang di KM3.2 pada 22 Feb lepas, dijangka selesai sepenuhnya dan kembali beroperasi pada Jumaat ini.

Ketua Pegawai Grid Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Husaini Husin berkata komitmen TNB yang pantas dan berterusan dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) membolehkan kerja membaik pulih dapat diselesaikan lebih awal berbanding tarikh jangkaan siap pada 6 Julai.

Beliau berkata kerja pembaikan yang bermula pada 4 Mac lepas melibatkan penggantian tiga kabel voltan tinggi dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tengah ke Bayan Mutiara sejauh kira-kira 1 km.

“Sepanjang tempoh pembaikan, aliran trafik di Jambatan Pulau Pinang tidak terganggu kerana TNB melakukan pembaikan melalui jalan laut dan kerja-kerja itu tidak menjejaskan daya harap dan kestabilan bekalan elektrik ke Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan.

Husaini berkata TNB menggunakan bot dan baj untuk membawa peralatan serta alat ganti, selain kerja pemasangan kabel dijalankan menggunakan baj.

Beliau berkata walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerja penggantian kabel diteruskan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

“Keutamaan TNB ialah membaiki kerosakan kabel supaya pelanggan kami di Pulau Pinang dapat terus menerima bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap, selaras dengan nilai teras kami iaitu mengutamakan pelanggan,” katanya.

Husaini berkata laporan siasatan kejadian itu sedang disiapkan dan akan dimuktamadkan bersama dengan PLUS menjelang bulan depan. — Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu