Nation
35

Kerja pemulihan keluarkan tren LRT berjalan lancar

Kuala Lumpur – Kerja pemulihan untuk mengeluarkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT), yang bertembung di dalam terowong antara Stesen LRT Kampung Baru dan KLCC Isnin lalu berjalan lancar, dengan lima daripada enam gerabak sudah dinaikkan.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, selepas kerja menyelamat dan mengeluar mangsa pada hari kejadian, pasukan pemulihan serta-merta bertindak dengan membuat penilaian terhadap kerosakan, dan diikuti dengan kerja-kerja awalan sebelum memulakan kerja-kerja pemulihan.

“Bahagian paling mencabar adalah untuk memisahkan gerabak untuk kedua-dua tren dan menaikkan enam gerabak yang tergelincir kembali ke atas landasan. Sehingga malam tadi, lima daripada enam gerabak berkenaan sudah berjaya dinaikkan.

“Kerja-kerja hari ini tertumpu kepada gerabak terakhir, dan kerja-kerja berkaitan dengan proses mengeluarkan tren, yang kemudiannya akan dibawa ke Depoh LRT Kelana Jaya di Subang,” menurut kenyataan itu dan menambah proses keseluruhan dijangka selesai dalam masa tiga hari, seperti yang diumumkan sebelum ini.

Menurut kenyataan itu, kerja pemulihan itu membabitkan seramai 50 staf kejuruteraan dan teknikal yang bekerja dengan tiga syif sejak dua malam lepas, dengan mereka terdiri daripada Jabatan Penyelenggaraan Rangkaian Trek; Jabatan Stok Kereta (Rolling Stock); dan Jabatan Komunikasi dan Semboyan (Signalling and Communication Wayside) daripada kelima-lima rangkaian rel – LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, MRT Laluan Kajang, MRT Laluan Putrajaya dan Laluan Monorel.

Dalam kejadian 8.45 malam itu, seramai 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan, apabila sebuah tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji, bertembung.

Berikutan itu, Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan panel penyiasat khas, untuk menyiasat punca kejadian itu. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu