Politics
290

Kerjasama atau tidak, itu pilihan UMNO : Muhyiddin

Muar – Keputusan UMNO sama ada mahu bekerjasama atau tidak dengan mana-mana parti politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah hak dan pilihan parti itu sendiri, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata yang penting ialah Bersatu di bawah Perikatan Nasional (PN) telah menjalinkan kerjasama baik dengan semua parti demi kepentingan rakyat.

“Itu pandangan UMNO… kalau buat keputusan begitu, itu hak mereka. Kalau mereka cakap tidak mahu bekerjasama dengan kita pun, pilihan mereka. Kalau nak bekerjasama dengan kita pun, itu hak mereka.

“Kita (Bersatu) sejak dulu telah menjalinkan kerjasama yang baik dengan semua parti sehingga akhirnya terbentuk kerajaan seperti yang kita lihat hari ini.Yang penting bagaimana kita menghadapi masa depan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Zon Ekonomi Khas Pagoh fasa pertama di Galeri Jualan Sime Darby, di sini hari ini.

Muhyiddin menjelaskan buat masa ini beliau lebih menumpukan pada permasalahan rakyat daripada berpolitik memandangkan isu pokok semasa ialah memastikan rakyat selamat dan sihat selain masalah ekonomi dapat ditangani.

“Saya tertumpu soal ini (berbanding soal politik), bukan tak boleh berpolitik, bukan saya tidak boleh berbahas, sebahagian besar kehidupan saya dalam politik. Saya boleh berbahas dengan siapa sahaja tetapi itu saya elakkan, kerana rakyat marah saya. Inipun jawab ini, ada yang marah nanti. Bukan saya takut.

“…kerana rakyat terkesan, hidup susah, makan tiada duit, makan tak cukup, ekonomi masih teruk… saya tidak tahu kenapa ahli-ahli politik tidak lihat itu sebagai satu dasar perjuangan yang perlu diberikan keutamaan. Bukan tidak penting kerusi, kalau tak cukup kerusi tidak boleh tubuh kerajaan, tak apalah, kalau dia nak, ambillah 222 kerusi… menang semua kerusi, boleh bentuk kerajaan.

“… tapi kalau dia ambil semua, saya pun ambil semua. Lawan satu dengan satu, boleh juga. Lawan satu dengan dua pun boleh juga… ini politik. Oleh itu saya tidak mahu menyombong diri, bersikap angkuh nanti rakyat marah,” kata Muhyiddin.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Pagoh itu tidak mahu pertembungan politik yang sekali gus mengalihkan perhatian pokok kerajaan PN kepada soal yang lebih utama iaitu kepentingan rakyat pada masa ini.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan semasa merasmikan persidangan tiga sayap parti itu serentak bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 hari ini, berkata parti tersebut tidak akan memperjudikan mana-mana kerusinya pada PRU15 kelak.

Beliau dipetik sebagai berkata kerusi UMNO adalah kerusi UMNO ‘dulu, kini dan selamanya’, dan bukan untuk dilepaskan demi memberi talian hayat kepada mana-mana pihak serta tidak akan mengalah atau melatah soal berkenaan. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu