Nation
270

Kerjasama guru, ibu jayakan PdPR

Kinabatangan – Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) memerlukan komitmen tinggi antara guru dengan murid atau pelajar, namun peranan ibu bapa turut penting dalam memastikan keberkesanannya.

Dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup berhadapan penularan pandemik Covid-19, sebuah sekolah pedalaman di sini menyedari betapa besar ‘pengaruh’ ibu, dalam menjayakan PdPR khususnya di kawasan yang sukar dilaksanakan PdPR secara dalam talian.

Guru, Najme Nasir berkata, sekolahnya iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lokan terharu dengan kebanyakan ibu di Kampung Sungai Lokan, yang memberikan komitmen tinggi menjayakan PdPR secara luar talian sejak tahun lalu lagi.

“Yang banyak memberikan kerjasama ialah ibu di rumah, yang banyak menolong murid ialah ibu, yang banyak berleter kerana kerja sekolah tidak siap, ialah ibu.

“Untuk itu kami amat menghargai peranan ibu membantu anaknya dan juga membantu kami melaksanakan PdPR,” katanya, lapor Bernama.

Katanya, komitmen golongan ibu sedikit sebanyak memudahkan guru memantau perkembangan murid di rumah, memandangkan sebahagian kawasan di kampung itu tiada capaian internet jalur lebar yang baik, kerana muka bumi sekeliling yang berbukit bukau.

Selain itu, guru yang mengajar Bahasa Melayu dan Matematik itu juga berkata guru-guru dan Guru Besar Masnah Apong, sentiasa mencari idea untuk menggalakkan murid terus berminat untuk belajar.

Najme berkata, antaranya ialah dengan menggunakan kewangan sendiri membeli peralatan sekolah, dan dibungkus dalam gubahan ‘hamper’ dan disampaikan kepada 62 murid sekolah terus ke rumah masing-masing.

“Tidak dinafikan prestasi murid di pedalaman berbeza dengan yang di bandar, apatah lagi apabila PdPR dilancarkan susulan pandemik ini.

“Bagi kami (SK Sungai Lokan), kami mahu murid-murid di sini tidak ketinggalan dalam pelajaran dan tidak terus melupakan pelajaran kerana pasti ada sesuatu yang mereka boleh belajar untuk kebaikan diri,” katanya.

Tags: , , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu