Kuala Lumpur Post

Social

Keropok beracun: Lelaki direman 6 hari

KULIM — Seorang lelaki direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes dua kanak-kanak termakan makanan ringan mengandungi racun tikus dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini, Ahad lepas.

Perintah reman dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Kulim, Mirza Mohamad bagi siasatan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, lelaki berpakaian lokap itu tiba di Kompleks Mahkamah Kulim kira-kira 8 pagi.
Media sebelum ini melaporkan Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan adiknya Muhammad Luth Syauqi, 2, kritikal selepas termakan makanan ringan disyaki mengandungi racun di kawasan kebun Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini, Ahad lepas.

Dua beradik itu dipercayai mengambil peket makanan ringan digantung di dawai pagar kebun pemilik terbabit bagi memerangkap monyet.

Kejadian itu disedari ibu mangsa pada 11 pagi selepas melihat dua anaknya muntah. Mereka kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Malau, sebelum dihantar ke Hospital Kulim dan seterusnya Hospital Pulau Pinang (HPP).

Muhammad Akil bagaimanapun meninggal dunia pada 8.40 pagi semalam, manakala adiknya masih dirawat di HPP dan dilaporkan belum sedar.