Nation
177

Kertas siasatan Ahli Parlimen berhimpun dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara

Kuala Nerus – Kertas siasatan membabitkan Ahli Parlimen yang terlibat dalam perhimpunan di ibu negara pada 2 Ogos lepas telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata kesemua Ahli Parlimen yang terlibat telah memberi keterangan masing-masing dan pihaknya juga telah selesai menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

“Semua yang terlibat sudah diambil keterangan. Insya-Allah akan ada keputusan dan tindakan yang diambil. Mungkin tidak berapa lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghantar barangan keperluan harian ke rumah beberapa pesara polis di sini semalam.

Pada 2 Ogos lepas, sekumpulan Ahli Parlimen berhimpun di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sebelum berarak dan cuba memasuki pekarangan bangunan Parlimen untuk mendesak supaya Mesyuarat Khas Dewan Rakyat diteruskan namun akhirnya bersurai tanpa sebarang kekecohan selepas diarah polis.

Sidang khas lima hari itu, yang dijadualkan berakhir pada 2 Ogos, bagaimanapun ditangguhkan atas nasihat Kementerian Kesihatan berikutan penularan COVID-19.

Acryl Sani juga berkata pembekuan cuti semua anggota serta pegawai polis yang dilaporkan berkuat kuasa pada 12 Ogos adalah sekadar proses pentadbiran dan sememangnya pasukan keselamatan itu perlu sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia.

“Polis sentiasa dikehendaki berada dalam keadaan bersiap sedia. Cuti ini sebenarnya pentadbiran sahaja. Dalam keadaan siap sedia tersebut, kita akan mengetatkan dari segi pelepasan dan seumpamanya bagi memastikan tahap siap sedia sentiasa ditepati,” katanya.

Sebelum ini, satu pekeliling bertarikh 12 Ogos tular di media sosial yang memetik Acryl Sani mengeluarkan arahan bahawa cuti dalam negeri, luar negara serta pergerakan luar daerah bagi semua pegawai kanan serta rendah anggota polis dibekukan berkuat kuasa mengikut tarikh ia dikeluarkan sehingga diberitahu kelak.

Kepada pertanyaan adakah pihak polis sedang melakukan persiapan bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya umum dalam masa terdekat, Acryl Sani berkata “Belum lagi.”

Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini, polis belum menerima sebarang laporan berkaitan salah guna sijil digital vaksinasi namun pihaknya akan sentiasa memantau dan mengambil langkah tertentu bagi mengelakkan perkara itu berlaku, lapor Bernama.

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu