Kuala Lumpur Post

Nation

Kes bom ikan disiasat Jabatan Perikanan, Perhutanan : Polis

IPOH — Polis menyerahkan siasatan seterusnya kepada Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perikanan negeri berhubung aktiviti penangkapan ikan menggunakan bahan letupan oleh sekumpulan lelaki di Hulu Perak, seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata siasatan dan tindakan selanjutnya dijalankan oleh kedua-dua agensi itu dan sehingga kini polis belum menerima sebarang laporan mengenai insiden tersebut.

Beliau berkata, pihaknya bersama sepasukan renjer Perhutanan Daerah Hulu Perak telah menjejaki tempat kejadian serta telah meninjau kawasan kejadian kira-kira 3 petang Isnin lepas.

“Hasil pemerhatian disahkan juga kawasan tersebut adalah di kawasan pertemuan Kuala Sungai Mangga dan Sungai Senga, Hutan Simpan Temenggor, Hulu Perak yang dipercayai telah berlaku aktiviti pengeboman ikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata, mana-mana kumpulan atau individu dinasihatkan agar tidak memasuki kawasan hutan simpan tanpa permit daripada Jabatan Perhutanan dan menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram kerana tindakan itu menyalahi Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1985) dan Akta Perikanan 1992.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh terus disalurkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik di talian 05-7912222,” katanya.