Social
604

Kes bunuh : 2 lelaki diburu polis

Ipoh – Polis giat mengesan dua lelaki yang masih bebas bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui terapung di Sungai Kinta berdekatan Taman Desa Aman, di Pasir Puteh, di sini, pada 26 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abd Aziz, berkata individu berkenaan adalah Harjit Singh Terlok Singh atau dikenali sebagai Kishen, 25, yang beralamat di Menglembu, di sini.

Katanya, seorang lagi suspek yang masih bebas adalah Muralitharan Muniandy atau nama panggilannya Murali, 23, yang beralamat di Tanjung Rambutan di sini.

“Sesiapa yang mengenali dan mempunyai maklumat berkenaan dua suspek ini diminta berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan (ASP) Shamrul Harun di talian 019-5000739 atau 05-2451592,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Beliau berkata, dua suspek berkenaan bersama lima lagi suspek yang sudah ditangkap akan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, pagi ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Katanya, manakala seorang lagi tangkapan dibebaskan dengan jaminan mahkamah.

A Asmadi berkata, pihaknya berjaya menangkap enam lelaki berusia antara 25 hingga 48 tahun pada 30 Mei lalu yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan itu.

“Semua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau dan hasil siasatan mendedahkan, mangsa iaitu lelaki berusia 40 tahun dilarikan serta dipukul oleh suspek yang ditangkap, bersama dua yang masih bebas terbabit.

“Berdasarkan semakan polis, identiti si mati dikenalpasti berkaitan kes seorang lelaki berumur 40 tahun yang dilarikan sekumpulan individu pada 24 Mei lalu di Pekan Bharu yang mana kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 KK kerana melarikan orang,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan penemuan mayat lelaki tanpa identiti dalam keadaan reput yang dihanyutkan arus sungai pada 26 Mei lalu dipercayai dibunuh berdasarkan kecederaan luka serta lebam pada beberapa bahagian tubuh si mati dipercayai disebabkan pukulan objek tumpul. — BH Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu