Social
268

Kes bunuh : 2 lelaki termasuk anggota tentera ditahan

Ipoh – Polis menahan dua lelaki termasuk seorang anggota tentera yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang pesara tentera di Bukit Sumpitan, Selama, Ahad lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata anggota tentera berusia 34 tahun itu ditahan di Taiping pada pukul 8 malam semalam, manakala seorang lagi suspek berumur 31 tahun dan bekerja sendiri ditahan di Perlis, Selasa lepas.

Beliau berkata penahanan itu adalah susulan laporan yang diterima pihaknya daripada anak saudara pesara itu pada pukul 4 pagi Isnin lepas di Balai Polis Kuala Sepetang, mengenai kehilangan mangsa dari rumahnya di Taman Ngah Ibrahim di Taiping.

Katanya hasil soal siasat, kedua-dua suspek telah membawa polis ke sebuah kawasan di Bukit Sumpitan, Selama kira-kira 60 meter dari tepi jalan, dikatakan lokasi pesara berumur 42 tahun itu dibunuh, yang membawa kepada penemuan satu mayat.

“Mayat telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mior Faridalathrash berkata berdasarkan siasatan awal, lima kesan tikaman senjata tajam dikesan di bahagian belakang mayat itu dan empat lagi tikaman dikesan di bahagian depannya.

Beliau berkata kejadian dipercayai berpunca daripada rasa cemburu suspek berusia 31 tahun itu yang menuduh pesara berkenaan mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dengan salah di dalam daerah Taiping, serta pembunuhan di dalam daerah Selama.

“Suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 20 Okt depan bagi tujuan siasatan dan kertas siasatan lengkap akan dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Perak dalam masa terdekat bagi arahan selanjutnya,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu