Social
298
0

Kes bunuh pelajar UPNM: Laporan forensik tidak tunjuk kesinambungan luka lecur sebab kematian

Kuala Lumpur – Seorang pakar perunding forensik di sebuah hospital kerajaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa laporan forensik kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain tidak menunjukkan kesinambungan luka lecur utama dialami mangsa 100 peratus menyebabkan kematiannya.

Saksi pembelaan ke-19, Ketua Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh Dr Rohayu Shahar Adnan, 49, berkata ini kerana kesimpulan yang diberikan Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang Dr Salmah Arshad tidak disokong dengan pemeriksaan mikroskopik.

“Pada pendapat saya, rumusan yang dibuat oleh pakar yang melakukan bedah siasat ini, ia tidak dapat menunjukkan kesinambungan bahawa ‘major burn’ (luka lecur utama) yang dialami mangsa 100 peratus melibatkan kematian.

“Jika dilihat dalam penyataan saksi Dr Salmah menulis dalam ayat komplikasi luka lecur adalah hypovolemic shock (kekurangan cecair di dalam badan), jangkitan kuman, organ penting rosak dan ketidak seimbangan electrolit,” katanya ketika ditanya peguam Amer Hamzah Arshad pada prosiding bela diri 18 pelajar UPNM terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman.

Dalam prosiding sebelum ini, Dr Salmah, saksi pendakwaan keenam memberitahu mahkamah bahawa punca kematian Zulfarhan Osman adalah disebabkan kombinasi antara ‘hypervolemia’, masalah jantung dan buah pinggang yang dialaminya.

Beliau berkata hasil bedah siasat mayat Zulfarhan Osman mendapati mangsa mengalami bengkak jantung dan kegagalan ginjal.

Ketika disoal Amer Hamzah, sama ada 90 luka lecur pada Zulfarhan Osman adalah akibat tekapan seterika wap sebanyak 90 kali Dr Rohayu berkata: “Untuk menjawab soalan tersebut terdapat tiga jawapan, pertama betul dikenakan 90 kali kecederaan, itu sudah pasti ia luka lecur.”

Amer Hamzah: Bagaimana hendak pastikan luka lecur?

Dr Rohayu: Dalam kes ini saya tidak dapat pastikan.

Amer Hamzah : Bagaimana pula dengan jawapan kedua dan ketiga (berhubung 90 luka lecur)?

Dr Rohayu : Bagi jawapan kedua, Dr Salmah kata wujud luka-luka bertindih, maka ada kemungkinan lebih 90 kali kerana luka tersebut bertindih manakala jawapan ketiga kebarangkalian kecederaan dikenakan kurang 90 kali kerana terdapat beberapa kecederaan yang berdasarkan coraknya bukan kecederaan lecur.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 penuntut UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mod Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

Mereka yang dituduh melakukan perbuatan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Mereka yang dituduh melakukan perbuatan itu di bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi 21 Mei 2017, didakwa mengikut Seksyen 330 KK dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok . – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu