Social
113

Kes cabul : Mahkamah Rayuan kekal denda RM20,000 terhadap guru

Putrajaya – Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman denda RM20,000 terhadap guru matematik yang didapati bersalah atas dua pertuduhan mencabul kehormatan seorang murid lelakinya berumur 11 tahun.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Suraya Othman membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Kamarul Azamin Mohamad terhadap sabitan dan hukuman dalam kes itu.

Panel itu, yang juga terdiri daripada Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk M. Gunalan, turut menolak rayuan pendakwaan agar hukuman penjara dikenakan ke atas Kamarul Azamin.

Dalam penghakimannya, Suraya berkata hukuman denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan yang dijatuhkan ke atas tertuduh adalah memadai.

Beliau berkata Kamarul Azamin adalah pesalah pertama dan dia juga berdepan kemungkinan kehilangan pekerjaan serta pencen.

Bagaimanapun, Suraya berkata sabitan terhadap Kamarul Azamin bagi kedua-dua pertuduhan adalah selamat kerana mangsa adalah saksi yang boleh dipercayai dan keterangan berhubung insiden yang berlaku di dalam bilik guru itu telah disokong oleh rakannya.

Kamarul Azamin, 43, pada asalnya didakwa atas dua pertuduhan merangsang mangsa untuk melakukan kelucahan melampau di dalam bilik guru pada 4 Mei 2016 dan sekali lagi pada 6 Mei tahun sama di dalam bilik komputer di sebuah sekolah di Kuala Lumpur.

Pada 26 Dis 2018, Mahkamah Sesyen mendapati Kamarul Azamin bersalah atas kedua-dua pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dengan satu sebatan bagi setiap kesalahan serta memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak.

Kamarul Azamin kemudian merayu ke Mahkamah Tinggi yang menggantikan pertuduhan itu dengan mencabul kehormatan dan menjatuhkan hukuman denda RM10,000 ke atas Kamarul Azamin bagi setiap kesalahan atau penjara 10 bulan.

Tertuduh diwakili peguam Taqiyuddin Yahya manakala Timbalan Pendakwa Raya How May Ling hadir bagi pihak pendakwaan, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu