Social
96

Kes cabul : Paderi OKU didakwa lagi

Petaling Jaya – Seorang paderi orang kurang upaya (OKU) warga Korea Selatan yang sebelum ini pernah didakwa di Mahkamah Majistret Pulau Pinang atas tuduhan mencabul beberapa lelaki, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan sama.

Bagaimanapun, tidak pengakuan direkodkan daripada Jee Jong Hoon, 54, yang merupakan OKU pekak dan bisu berikutan ketiadaan jurubahasa untuk membacakan pertuduhan dalam bahasa isyarat di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 27 Julai ini untuk melantik jurubahasa bagi membacakan pertuduhan terhadap Jong Hoon.

Terdahulu pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Mahat, tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun peguam M Thanakumaran yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap anak guamnya dengan alasan dia sudah memberikan kerjasama baik kepada pihak polis sepanjang siasatan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin warganegara, berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Pada 29 Disember 2020, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang lelaki yang kini berusia 40 tahun.

Sementara itu pada 18 Disember 2020, Jong-hoon didakwa atas dua lagi pertuduhan mencabul kehormatan dua lelaki pada 2013 dan 2017.

Tiada pengakuan direkodkan bagi kedua-dua kes berkenaan kerana ketiadaan jurubahasa bagi membaca pertuduhan selain tertuduh hanya memahami bahasa Korea.

Mahkamah Majistret Butterworth, kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000. — BH Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu