Nation
275

Kes Covid-19 kategori 3, 4 dijangka turun akhir bulan ini : MB Selangor

Shah Alam – Selangor menjangkakan penurunan kes COVID-19 bagi kategori tiga dan empat menjelang akhir bulan ini selaras dengan peningkatan jumlah penerima vaksin, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata sehingga semalam, 5,761,304 dos vaksin telahpun diagihkan kepada rakyat Selangor melalui pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini di bawah kerangka Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Negeri Selangor (PICK) dan program Selangor Vaksin (SelVAX)

“Daripada jumlah ini, 3,665,093 orang telah menerima dos vaksin pertama atau 77.17 peratus populasi penduduk dewasa di Selangor, manakala 2,096,211 telah lengkap menerima dua dos vaksin atau bersamaan 44.14 peratus,” katanya kepada pemberita melalui sidang media dalam talian, hari ini.

“Justeru (melihat kepada) apa yang telah direncana dan graf rekod yang dibuat di seperti Sarawak mahupun Labuan, kita jangka menjelang akhir Ogos dan September ini kita akan mendapat hasil daripada vaksinasi ini, iaitu penurunan kes bagi kategori tiga dan empat,” katanya.

Ini sekali gus mengurangkan tekanan yang dihadapi pihak hospital dan sektor perubatan di samping dapat menuju ke arah imuniti kelompok atau fasa peralihan seterusnya.

Amirudin menjelaskan jumlah penerima vaksinasi hanya melibatkan rakyat negeri ini yang menerima vaksin di Selangor sahaja dan bukan mereka yang tinggal di Selangor tetapi mengambil vaksinasi di luar negeri ini terutamanya di Kuala Lumpur.

“Justeru saya percaya angka 44.14 peratus adalah bagi penerima vaksin di (PPV) Selangor dan kalau mengikut data itu (PICK) sebenarnya, kadar vaksinasi Selangor yang lengkap saya percaya telah hampir kepada 50 peratus pada hari ini,” katanya.

Sementara itu Amirudin menjelaskan pengecualian bayaran bagi jenazah Islam yang meninggal ekoran COVID-19 hanya membabitkan inisiatif kerajaan negeri di bawah usaha Pengurusan Jenazah COVID-19 Bersepadu yang dijalankan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menyentuh hasil perbincangan di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam, beliau berkata kerajaan negeri memutuskan untuk menambah RM1juta lagi peruntukan untuk manfaat khairat kematian sebanyak RM1,000 kepada rakyat Selangor yang meninggal dunia akibat pandemik, sehingga 31 Disember depan.

Selain itu, beliau berkata pihaknya akan menyediakan peruntukan dalam masa terdekat bagi membiayai sebahagian kos pengurusan mayat COVID-19 bukan Islam di negeri itu terutamanya bagi mereka yang tidak berkemampuan.

Amirudin berkata kerajaan negeri juga akan mengagihkan 60,000 kit percuma saringan kendiri kepada rakyat negeri itu yang disahkan positif COVID-19 dan program berkenaan dilaksanakan menerusi 56 Pusat Khidmat Masyarakat dan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu