JOHOR BAHARU — Seorang penganggur mengaku tidak bersalah terhadap 15 pertuduhan membabitkan penculikan, kurungan salah dan amang seksual ke atas kanak-kanak enam tahun, selain mengumpul serta memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.
Leang Win Son, 31, memohon dibicarakan bagi semua pertuduhan dalam prosiding berbeza di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan Mahkamah Majistret Kulai.
Berdasarkan pertuduhan dibaca di depan Hakim Rasidah Roslee, tertuduh didakwa menculik mangsa daripada ibunya di Eco Galleria, Taman Botani, Iskandar Puteri kira-kira 8.30 malam 20 Julai Lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu turut didakwa dengan niat curang membuat pengurungan salah ke atas kanak-kanak itu dalam bilik sebuah hotel di Jalan Mahagoni 9, Batang Kali, Hulu Selangor kira-kira 4.45 pagi 23 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 346 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan, lapor Berita Harian.
Di depan Hakim Siti Noraida Sulaiman pula, Leang berdepan enam pertuduhan dengan empat daripadanya membabitkan pengumpulan 5,317 gambar dan video penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak dalam dua kad SD, cakera keras serta telefon bimbit di sebuah rumah di Jalan Bunga Raya 2, Taman Sri Kulai dekat Kulai kira-kira 4 petang 24 Julai lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 8(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat tidak kurang tiga kali, jika sabit kesalahan.
Baki dua lagi pertuduhan ialah memiliki 30 gambar penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak dalam sebuah telefon bimbit di bilik sebuah hotel di Jalan Mahagoni 9, Batang Kali, Hulu Selangor kira-kira 4.45 pagi 23 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 10 Akta kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Leang juga didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan membuatkan seorang kanak-kanak menunjukkan badan supaya dapat dilihat dengan cara membuka pakaian mangsa dalam bilik hotel sama antara 12.30 tengah hari 22 Julai hingga 4.45 pagi keesokannya.
Dia didakwa di bawah Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pengarah Pendakwaan Johor, Abdul Ghafar Ab Latif memberitahu mahkamah, semua perbuatan mengikut seksyen yang dihadapi tertuduh tidak boleh dijamin, tetapi mencadangkan keseluruhan RM160,000 bagi semua lapan pertuduhan, jika mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin.
Peguam Nur Zafirah Norizan memohon jaminan minimum atas faktor anak guamnya tidak bekerja dan mempunyai masalah kesihatan, selain ditanggung sepenuh ibunya berusia 58 tahun yang juga ibu tunggal dan tiada pekerjaan serta gaji tetap.
Dua mahkamah itu membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM50,000 serta syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 Sept bagi serahan dokumen.
Selesai prosiding di Kompleks Mahkamah Johor Bahru, Leang dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai untuk menghadapi tujuh lagi pertuduhan yang difahamkan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.