Social
173

Kes dera : Ibu kandung, teman lelaki ditahan

Kuala Lumpur – Polis menahan seorang wanita dan teman lelakinya, kerana dipercayai telah mendera dua anak kandungnya berusia dua dan tiga tahun di sekitar Taman Samudera, Batu Caves dekat sini.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam memaklumkan, penemuan dua kanak-kanak perempuan dalam keadaan tidak terurus di Jalan Samudera Utara 1, di sini kira-kira 1 petang tadi.

Menurutnya, pemeriksaan fizikal terhadap kedua-dua kanak-kanak tersebut mendapati, terdapat kesan calar dan lebam di tangan, pipi, kaki dan dagu, dan telah dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut.

“Siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa tinggal bersama ibu kandung dan teman lelaki ibu mereka, di sebuah rumah flat yang disewa di Taman Samudera, Batu Caves.

“Susulan itu, ibu mangsa dan teman lelakinya berusia 22 tahun serta seorang lelaki iaitu penjaga mangsa berusia 35 tahun, ditahan 9.30 malam tadi bagi membantu siasatan, serta akan dibawa ke Mahkamah Selayang esok bagi permohonan tahanan reman,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu penganinayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak, dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai, diabaikan, dibuang atau didedahkan sedemikian.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu