Social
279
0

Kes dera: Reman suami isteri disambung

Ayer Keroh – Tahanan reman pasangan suami isteri yang juga ibu kandung dan bapa tiri kepada budak lelaki berusia tujuh tahun yang meninggal dunia dipercayai didera minggu lalu, disambung selama tujuh hari hingga 12 Februari depan.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Mohd Anuar Ostadi membenarkan permohonan polis untuk sambung reman wanita berusia 32 tahun dan pasangannya berusia 38 tahun bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kedua-dua mereka yang memakai pakaian lokap berwarna jingga dan ungu dilihat tenang ketika dibawa masuk ke bilik khas reman di kompleks mahkamah terbabit.

Sabtu lalu, pasangan suami isteri itu yang disyaki mendera dan membunuh kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, di Taman Krubong Jaya direman tujuh hari hingga hari ini bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian jam 4 petang Jumaat minggu lalu, budak lelaki terbabit ditemui lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter dalam bilik air tingkat bawah rumah itu. Terdapat beberapa kesan kecederaan di beberapa bahagian badan mangsa.

Polis turut mengesahkan terdapat beberapa kesan lebam termasuk luka lama dan baharu di anggota badan mangsa, khususnya di kepala dan belakang badan kanak-kanak itu ketika proses bedah siasat.

Jenazah yang dituntut oleh waris keluarga ibu kandung di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Kampung Simpang Bekoh, Jasin, Isnin lalu. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu