Social
90

Kes kompaun pelajar tidak memakai pelitup muka selesai

Larut – Kes enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng yang tular kerana dikenakan kompaun akibat tidak memakai pelitup muka telah diselesaikan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamaruddin.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan pihak kolej, Pusat Kesihatan Kampar dan Pengarah Kesihatan Perak baru-baru ini dan satu keputusan diambil, iaitu pelajar terlibat tidak perlu membayar kompaun dikenakan.

“Kes itu telah selesai dan pelajar terbabit tidak perlu membayar satu sen pun saman (kompaun) yang dikenakan kepada mereka jadi pelajar tidak perlu runsing…saya juga berjumpa dengan salah seorang bapa pelajar dan memberitahu kes telah selesai.

Saya membantu untuk menyelesaikan masalah mereka kerana mereka akan menghadapi peperiksaan, saya tidak mahu pelajaran mereka terganggu,” katanya pada sidang media selepas melawat Klinik Kesihatan Selama di sini hari Selasa.

Pada 19 April lepas, tular di media sosial berhubung enam pelajar berkenaan dikenakan kompaun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana tidak memakai pelitup muka.

Tindakan mengenakan kompaun itu menerima pelbagai kritikan daripada netizen yang mempertikai tindakan KKM itu kerana pelajar terbabit dikatakan tinggal di kolej sejak lima bulan dan tidak dibenarkan keluar.

KKM dikatakan mengeluarkan kompaun RM1,500 kepada beberapa pelajar yang tidak memakai pelitup muka atau meletakkannya di bawah dagu.

Sementara itu, Mohd Akmal memaklumkan seramai 30 Ahli Jawatankuasa (AJK) di dua masjid di Kamunting dan Taiping disahkan positif COVID-19.

Katanya daripada jumlah itu, seramai 27 individu membabitkan AJK dan jemaah di Masjid Kampung Expo, Kamunting dan tiga dari Masjid Pokok Asam di Taiping.

Beliau berkata siasatan mendapati seorang AJK Masjid Kampung Expo telah pergi ke Pangkor sebelum terbabit dengan aktiviti bertadarus di masjid itu.

Mohd Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama berkata ujian calitan telah dijalankan ke atas jemaah di kedua-dua masjid berkenaan bagi mengetahui sama ada mereka dijangkiti COVID-19.

“Keputusan ujian calitan jemaah yang lain masih belum diketahui dan aktiviti solat fardu di dua masjid itu hanya dibenarkan dihadiri oleh AJK sahaja manakala jemaah lain tidak dibenarkan,’’ katanya. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu