Kuala Lumpur Post

Social

Kes lelaki Israel: 3 warga asing dihantar pulang ke negara asal

KUALA LUMPUR — Tiga warga asing dipercayai mempunyai kaitan dengan lelaki warga Israel, Shalom Avitan, yang ditahan kerana memiliki enam pucuk pistol, dihantar pulang ke negara asal selepas siasatan terhadap mereka selesai.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Isa, berkata mereka dihantar pulang selepas diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi proses pemindahan imigran larangan dari Malaysia.

“Ketiga-tiga lelaki dipindah keluar dari negara ini untuk ke negara asal mereka iaitu Amerika Syarikat (AS), Turki dan Georgia, kelmarin dan semalam.

“Ketiga-tiga suspek termasuk tujuh warga tempatan, dibebaskan pada 10 Mei lepas bawah jaminan polis,” katanya di IPK Kuala Lumpur, menurut Berita Harian.

Mengenai tujuh lelaki tempatan yang ditahan dalam siasatan kes sama, Rusdi berkata mereka boleh ditahan semula jika ada bukti baharu.

“Kena faham, bebas dengan jaminan. Kalau ada perkembangan, saksi, keterangan baharu, kertas siasatan boleh dibuka bila-bila masa,” katanya.

Siasatan itu dilakukan mengikut Seksyen 130v(1) Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang.

Pada 19 April, Rusdi mengesahkan 10 daripada 18 individu ditahan berhubung siasatan kes itu.

Daripada 10 ditahan itu, tiga termasuk Avitan dan pasangan suami isteri warga tempatan didakwa di mahkamah, manakala lima lagi dibebaskan.