Social
367

Kes mayat terbakar : Pemandu lori didakwa bunuh wanita

Kuala Terengganu – Pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang mayatnya ditemukan terbakar di tepi jalan pada 17 April lalu.

Tertuduh, Badrul Hisham Mat Jusoh, 37, dari Bukit Payong, Marang mengangguk faham selepas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Che Janiah Jaafar, 55, di Kilometer 16, Jalan Kelantan, Kampung Padang Air di sini, antara 9.30 malam hingga 7.15 pagi pada 16 dan 17 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati, jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum Nordiana menetapkan 20 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang tukang sapu menemui mayat tanpa identiti yang terbakar di tepi jalan di Kampung Padang Air.

Kejadian itu disedari lelaki terbabit ketika mahu memulakan tugasnya di lokasi berkenaan pada 7.15 pagi sebelum ternampak asap di dalam semak berhampiran. – Harian Metro

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu