Kuala Lumpur Post

Social

Kes mayat wanita ditemukan dalam longkang masih dalam siasatan

SUNGAI PETANI — Penemuan mayat dipercayai seorang wanita dalam longkang di belakang sebuah rumah di Taman Perpaduan, di sini semalam masih dalam siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, setakat ini kes masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan pihaknya sedang menunggu laporan hasil bedah siasat yang dijalankan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu sekitar 5.47 petang semalam daripada orang awam.

Katanya, hasil soal siasat daripada saksi kejadian, dia menyedari kejadian itu selepas terhidu bau busuk di kawasan belakang rumah berkenaan.

Beliau berkata, pada mulanya saksi memaklumkan, bau itu datang melalui tandas rumahnya dan selepas mencuci tandas berkenaan, bau busuk itu tidak hilang.

“Selepas membuka pintu belakang, dia terkejut apabila melihat mayat seorang wanita dengan hanya berpakaian baju ‘kelawar’ dalam longkang di belakang rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zaidy berkata, mayat wanita itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk dibedah siasat.

“Orang ramai atau sesiapa yang kehilangan ahli keluarga diharap tampil dan membuat laporan di balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

“Setakat ini belum dapat diklasifikasikan kes ini sebagai jenayah atau sebaliknya kerana kita sedang menunggu laporan bedah siasat,” katanya, lapor Harian Metro.

Tags: , ,