Social
334

Kes OKT mati dalam tahanan disiasat

Alor Setar – Polis Kedah sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes kematian orang kena tangkap (OKT) ketika dalam tahanan sebuah agensi penguat kuasa di daerah Kuala Muda, pada 20 Julai lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata polis menerima satu laporan berhubung tangkapan lelaki berumur 24 tahun itu di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 oleh satu agensi penguat kuasa pada pukul 10 malam, 18 Julai lepas.

“Di dalam laporan itu turut dinyatakan pegawai penguat kuasa agensi berkenaan telah mengalami kecederaan akibat pergelutan semasa tangkapan dijalankan ke atas suspek, jadi polis telah membuka kertas siasatan atas laporan itu.

“Pada 19 Julai kira-kira pukul 11.35 pagi, polis menerima satu laporan daripada seorang wanita yang memaklumkan rasa tidak puas hati terhadap proses tangkapan ke atas adik lelakinya (OKT) yang dibuat oleh agensi penguat kuasa itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau berikutan laporan yang dibuat oleh wanita berkenaan, polis kemudian telah membuka satu lagi kertas siasatan.

Kamarul Zaman bagaimanapun berkata pada 20 Julai kira-kira 1.30 pagi, OKT dilaporkan telah meninggal dunia di hospital dan kertas siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Saya memberi jaminan bahawa kami sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh dan adil dalam kes ini dan waris suspek juga telah dimaklumkan tentang perkembangan siasatan. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang persepsi negatif berhubung kes ini.

“Polis Kedah juga menyeru kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes ini untuk tampil menyalurkan sebarang maklumat di talian 04-7741403/1405 atau MERS 999 atau Pegawai Penyiasat Kes ASP Siti Anim Aripin di talian 012-9144654,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu