World
68

Kes pengubahan wang haram Shafee bermula esok

Kuala Lumpur – Selepas hampir tiga tahun, perbicaraan peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang berhadapan dua pertuduhan pengubahan wang haram RM9.5 juta yang didakwa diterimanya dari bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua pertuduhan membuat kenyataan palsu kepada Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN), akan bermula esok di Mahkamah Tinggi di sini.

Sebelum ini, tarikh perbicaraan Muhammad Shafee telah dikosongkan untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes Najib yang masih berjalan. Muhammad Shafee mengetuai pihak pembelaan dalam perbicaraan kes jenayah bekas perdana menteri itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dijadualkan bermula pada pukul 9 pagi.

Kes ini akan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz sementara peguam Harvinderjit Singh akan mewakili Muhammad Shafee.

Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui cek dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 Sept 2013 dan RM5.2 juta lagi pada 17 Feb 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee juga didakwa atas dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015, jika sabit kesalahan akan berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda daripada jumlah hasil aktiviti haram. – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu