Social
340

Kes pertengkaran di restoran makanan segera disiasat

Shah Alam – Polis sedang menyiasat satu kejadian pertengkaran di sebuah restoran makanan segera semalam di Klang yang kini tular di media sosial.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dalam kejadian 1.30 petang itu, berlaku perselisihan faham membabitkan dua pihak yang mana semasa kejadian, ada terkeluar perkataan yang mungkin agak sensitif.

“Dalam perselisihan faham ini, satu pihak tidak berpuas hati dengan servis yang diberikan oleh kakitangan restoran makanan segera itu dan pada masa sama, ada pihak yang merakam.

“Bila berlaku perkara ini, sepanjang pertengkaran itu ada perkataan perkataan yang mungkin menyinggung atau tidak sepatutnya dikeluarkan.

“Pertengkaran dileraikan sepasukan polis yang menjalankan pemantauan di lokasi kejadian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, polis sudah memanggil semua pihak yang terbabit dalam kejadian itu termasuk individu yang merakamkan kejadian itu.

“Jadi, siasatan sudah dijalankan. Kita sudah memanggil semua saksi dan mereka yang terbabit. Saya harap tiada pihak cuba memanaskan isu terbabit, kedua pihak ini sudah berjumpa dan berbincang.

“Kertas siasatan akan disiapkan segera akan dibawa kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, Arjunaidi menasihatkan orang ramai untuk mengawal kemarahan dalam apa juga situasi dan tidak mengambil undang-undang sendiri kerana negara ada undang-undang dan peraturan yang perlu dipatuhi.

“Jika marah sekalipun, marah dengan santun, kerana ia akan menciptakan situasi lebih baik. Hati boleh panas tapi lidah kita biarlah tetap dingin agar tidak melukai perasaan orang lain.

“Marah kalau tidak kawal dan kalau ada orang terus mengapi-apikan, bukan hanya merugikan semua pihak malah boleh ‘menikam’ diri sendiri,” katanya. – Harian Metro

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu