Nation
101

Kes positif Covid-19 meningkat 45 peratus : Dr Adham

Putrajaya – Kes positif Covid-19 di dalam negara dilaporkan meningkat sebanyak 45 peratus sepanjang minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, berdasarkan data dikeluarkan, sebanyak 13,742 kes positif dilaporkan bagi tempoh antara 11 hingga 17 April lalu berbanding 9,507 kes (4 hingga 10 April).

Beliau berkata, peningkatan kes positif itu turut dikesan sejak tiga minggu lalu.

“Bagi kes aktif pula, 19,094 kes aktif direkodkan setakat 17 April lalu yang mewakili 5.1 peratus daripada jumlah kes kumulatif direkodkan di negara ini.

“Sejumlah 17,096 purata kes aktif direkodkan pada minggu ke 15. Ini menunjukkan bahawa 18 peratus peningkatan kes purata di minggu 14 ke minggu 15,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), hari ini.

Katanya,  jumlah kes kematian akibat positif Covid-19 adalah 1,370 setakat Sabtu lalu dengan kadar peratusan 0.37 peratus.

Dalam perkembangan lain, Adham berkata, sejumlah 3,000 sukarelawan yang menyertai kajian klinikal fasa 3 vaksin Covid-19 dikategorikan sebagai mereka yang sudah terlindung daripada virus itu.

Justeru, katanya, kesemua mereka tidak lagi perlu diberikan suntikan vaksin tambahan.

“Mereka sudah divaksin dan tidak perlu divaksin dengan vaksin lain seperti Pfizer atau Sinovac disebabkan ujian yang dijalankan sememangnya dikhususnya untuk mereka.

“Kita anggap mereka sudah terlindung dan diberi perlindungan dan tidak boleh beri suntikan tambahan kerana kajian yang berlangsung adalah selama 13 bulan.

“Cuma kami nasihatkan mereka cuma kekal penjagaan kendiri, kebersihan, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial,” katanya.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin berkata, PICK dilaksanakan kerajaan terbukti dapat mengurangkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 terutama kepada individu yang sudah lengkap menerima dua dos suntikan.

“Ini kerana hanya 0.003 peratus petugas barisan hadapan dijangkiti semula Covid-19. Ia sekali gus terbukti suntikan vaksin berkesan mengurangkan kadar jangkitan,” katanya.

Katanya, mereka yang dijangkiti semula itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang gejala teruk sekali gus mencerminkan keberkesanan vaksin dalam menangani risiko jangkitan, maut dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, seramai sembilan petugas barisan hadapan disahkan positif Covid-19 selepas dua minggu menerima suntikan dos kedua vaksin. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu