Nation
219

Kes projek AKSB: Kelantan akan beri kerjasama penuh bantu siasatan SPRM

Kota Bharu – Kelantan akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan projek Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bernilai lebih RM27 juta.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan Mohd Asri Mat Daud berkata Datuk Ahmad Yakob mengambil perhatian sepenuhnya berikutan penahanan bekas pengurus besar dan pegawai AKSB bagi membantu siasatan kes itu.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Kelantan, melalui AKSB, akan memberi sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM bagi membantu siasatan kes itu selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada.

“Dalam pada itu, prinsip ‘tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah’ perlu sentiasa dipegang. Semua pihak hendaklah memberi kepercayaan penuh kepada siasatan yang sedang dibuat oleh SPRM dan tidak mendahului SPRM dalam hal ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan SPRM menahan tiga lelaki termasuk bekas pengurus besar AKSB bagi membantu siasatan kes itu yang berlaku antara tahun 2015 dan 2019.

Dua lagi yang ditahan bersama dengan bekas pengurus berusia 60 tahun itu ialah seorang pegawai AKSB berumur 39 tahun dan seorang pengurus projek sebuah syarikat berumur 43 tahun.

Kes itu adalah antara yang berprofil tinggi melibatkan anak syarikat Kerajaan Negeri Kelantan dan siasatan lanjut mengenainya akan dilakukan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu