Nation
436
0

Kes Saman Indira: PDRM dan tiga pihak lagi diperintah fail pembelaan

Kuala Lumpur – Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta tiga pihak lagi hari ini diperintah untuk memfailkan pernyataan pembelaan mereka dalam kes saman yang difailkan seorang guru tadika M. Indira Gandhi.

Saman itu berhubung dakwaan PDRM gagal melaksanakan waran komital untuk menangkap bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah dan memulangkan anak perempuan mereka berusia 12 tahun yang dilarikan lelaki itu, 11 tahun lepas.

Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Indira ketika dihubungi pemberita berkata, kesemua defendan iaitu Ketua Polis Negara (KPN), PDRM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia diarah memfailkan pernyataan pembelaan sebelum atau pada 2 Dis ini.

“Plaintif (Indira) pula diarah untuk memfailkan balasan terhadap pernyataan pembelaan sebelum atau pada 16 Dis ini dan pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 30 Dis ini. Kesemua defendan juga telah memasukkan memorandum kehadiran pada 18 Nov lalu selepas saman diserahkan kepada mereka awal bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas prosiding pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Idamasliza Maarof yang dijalankan menerusi e-Review (dalam talian), dan kesemua defendan diwakili Peguam Persekutuan Safiyyah Omar.

Dalam pernyataan tuntutannya yang difailkan pada 28 Okt lepas , Indira, 45, selaku plaintif mendakwa defendan pertama iaitu KPN telah dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus daripada Mahkamah Persekutuan kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan Prasana Diksa kepadanya.

Indira mendakwa KPN dalam kenyataan media pada 27 Jan lepas telah menyatakan bahawa beliau mengetahui lokasi bekas suaminya yang sebelum ini dikenali sebagai K. Patmanathan, 51, dan sedang berusaha mencapai suatu ‘akhiran bahagia’ untuk plaintif.

“Kenyataan defendan pertama dengan jelas menunjukkan bahawa defendan pertama tidak menangkap Muhammad Riduan (Patmanathan) dan mengembalikan Prasana kepada saya walaupun beliau mempunyai pengetahuan akan lokasi Muhammad Riduan,” kata wanita itu.

Dakwa wanita itu, kesemua defendan mempunyai peranan dalam membuat keputusan atau memberi arahan kepada PDRM bagi melaksanakan waran komital terhadap Muhammad Riduan seperti yang diperintahkan Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2016.

Plaintif juga mendakwa kelakuan kesemua defendan secara langsung menyebabkan perpisahan antara beliau dengan anak bongsunya itu berlanjutan sehingga hari ini dan Muhammad Riduan berjaya melarikan diri.

Oleh itu, Indira antara lain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta faedah selain memohon deklarasi bahawa defendan pertama telah melakukan tort nonfeasance di pejabat awam dan defendan kedua, ketiga dan keempat bertanggungjawab secara vikarius bagi tort nonfeasance yang dilakukan defendan pertama.

Indira berkata beliau telah berkahwin dengan Patmanathan pada 10 April 1993 dan mempunyai tiga anak hasil perkahwinan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata pada 11 Mac 2009, lelaki itu telah memeluk agama Islam dan turut menukar agama ketiga-tiga anak mereka kepada Islam serta memperoleh hak penjagaan kesemua anak mereka daripada Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh pada 29 Sept 2009.

Menurut plaintif, beliau kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Sivil di Ipoh bagi mendapatkan hak penjagaan ketiga-tiga anak mereka dan permohonannya dibenarkan pada 11 Mac 2010.

Bagaimanapun, Indira berkata selepas itu, anak bongsu mereka iaitu Prasana telah diambil secara paksa oleh Muhammad Riduan. Pasangan itu telah bercerai pada 8 Ogos 2012.

Indira berkata pada 30 Mei 2014, Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan Muhammad Riduan dipenjarakan sehingga lelaki itu memulangkan anak bongsu mereka kepadanya dan beliau juga telah memfailkan semakan kehakiman di mahkamah sama bagi mendapatkan perintah mandamus supaya defendan pertama menguatkuasakan perintah komital terhadap Muhammad Riduan.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi Ipoh pada 12 Sept 2014 membenarkan permohonannya namun keputusan itu diketepikan Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2016 membenarkan rayuannya dan memutuskan supaya Muhammad Riduan ditangkap dan waran komital perlu dilaksanakan terhadap lelaki itu. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu