Nation
159

Kes tanah Orang Asli : Saman Kerajaan Persekutuan terhadap Kelantan dibatal

Putrajaya – Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan kerajaan Kelantan untuk membatalkan saman kerajaan persekutuan yang difailkan bagi pihak Orang Asli suku Temiar, berhubung pertelingkahan mengenai tanah adat di Pos Simpor, Gua Musang, kerana kerajaan persekutuan tidak mempunyai locus standi (kedudukan di sisi undang-undang) untuk berbuat demikian.

Dalam keputusan sebulat suara itu, Hakim Datuk Lau Bee Lan yang mengetuai panel tiga hakim, berkata mahkamah mendapati tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana undang-undang bertulis yang mengiktiraf locus standi kerajaan persekutuan dalam memfailkan saman bagi pihak Orang Asli.

“Kami tidak bersetuju dengan hujah bahawa kerajaan persekutuan mempunyai locus standi untuk menjadi plaintif dalam kes ini dan bukan pihak yang didakwa terjejas iaitu Orang Asli Temiar dari Pos Simpor.

“Kami berpendapat, sekalipun kerajaan persekutuan mempunyai tugas fidusiari di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menjaga kebajikan orang asal, tugas itu tidak memberikan kerajaan persekutuan hak untuk mengambil tindakan perundangan sebagai plaintif.

“Dalam kes ini, pertelingkahan adalah berkaitan dakwaan pelanggaran hak hartanah Orang Asli Temiar di Pos Simpor oleh kerajaan Kelantan dan agensinya. Sehubungan itu, rayuan ini dibenarkan dan saman sivil Mahkamah Tinggi ini dibatalkan,” kata Lau yang bersidang bersama-sama hakim Datuk P. Ravinthran dan Datuk Mohd Sofian Abd Razak dalam prosiding yang berlangsung menerusi Zoom.

Kerajaan Kelantan diwakili peguam Khoo Guan Huat, sementara peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar dan G. Ragumaren tampil bagi pihak kerajaan persekutuan.

Pada 20 Ogos 2019, Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak permohonan kerajaan Kelantan untuk membatalkan saman itu selepas memutuskan ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes tersebut yang difailkan oleh kerajaan persekutuan terhadap kerajaan Kelantan pimpinan PAS.

Kerajaan Kelantan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu bersandarkan hujah kerajaan persekutuan tidak mempunyai locus standi untuk memulakan tindakan perundangan.

Kerajaan persekutuan menamakan Kerajaan Kelantan, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan serta lima syarikat swasta sebagai defendan.

Kerajaan persekutuan mengemukakan saman itu selaras dengan kewajipannya di sisi perlembagaan dan fidusiari bagi melindungi kebajikan masyarakat Orang Asli yang membantah pencerobohan ke atas tanah adat mereka.

Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan persekutuan mendakwa kerajaan Kelantan telah mengeluarkan lesen kepada beberapa syarikat swasta bagi membenarkan mereka menjalankan aktiviti komersial seperti pembalakan dan pembersihan tanah untuk menanam pokok getah dan durian di atas tanah adat Orang Asli suku Temiar.

Pada Januari 2019, bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dilaporkan berkata buat pertama kalinya sejak negara merdeka, kerajaan persekutuan mengambil tindakan perundangan bagi pihak Orang Asli bagi memelihara hak mereka di sisi perlembagaan dan perundangan dalam usaha melindungi serta menggalakkan kesejahteraan dan kemajuan mereka. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu