Kuala Lumpur Post

Social

Kes tembak KLIA : Gambar suspek diedar kepada negara jiran

KUALA LUMPUR — Polis mengedarkan gambar suspek yang terlibat dalam kejadian tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 awal pagi tadi ke semua pintu masuk negara di Utara Semenanjung, dan pihak berkuasa negara jiran.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata arahan itu dikeluarkan sebaik sahaja pihaknya berjaya mengenal pasti suspek terlibat dalam kejadian tersebut yang menyebabkan seorang pengawal peribadi cedera parah.

Polis memperketatkan kawalan di sempadan negara bagi mengelakkan suspek meloloskan diri ke negara jiran. Suspek dipercayai masih berada di dalam negara dan usaha mengesan lelaki itu sedang giat dijalankan.

“Saya percaya dengan kecekapan anggota saya,” katanya ketika dihubungi.

Razarudin berkata siasatan awal mendapati suspek menggunakan pistol separa automatik berkaliber sembilan milimeter semasa kejadian. Polis mengesyaki suspek memperoleh pistol berkenaan dari negara jiran.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi tadi, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi kepada isterinya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, dilapor berkata polis melancarkan operasi mengesan lelaki itu selain mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah di kawasan negeri berhampiran serta sempadan negara menjejakinya.