KUALA LUMPUR — Seorang bapa yang didakwa melarikan tiga anaknya dan mendaftarkan mereka sebagai mualaf tanpa kebenaran bekas isterinya, didenda RM20,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana menghina mahkamah.
Hakim Evrol Mariette Peters menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Nagahswaran Muniandy, bekas suami Loh Siew Hong, dan memerintahkannya membayar denda dalam tempoh 14 hari, jika tidak dia akan dipenjarakan selama 14 hari mulai hari ini.
Hakim berkata Muhammad Nagahswaran telah campur tangan dalam pentadbiran keadilan.
Hakim itu membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan Loh untuk memulakan prosiding komital terhadap Muhammad Nagahswaran.
Dalam permohonannya, Loh mendakwa terdapat perintah mahkamah yang memberikannya hak penjagaan tunggal ke atas tiga anaknya iaitu kembar perempuan berusia 15 tahun dan anak lelaki berusia 11 tahun pada 31 Mac 2021, bagaimanapun bekas suaminya telah melanggar perintah itu, lapor Bernama.