Social
197

Kes tular remaja OKU hilang di Rawang bukan diculik

Kuala Lumpur – Tiada elemen penculikan melibatkan kes tular di media sosial kononnya seorang remaja perempuan Orang Kurang Upaya (OKU), dibawa lari seorang lelaki tidak dikenali dengan menaiki kereta di Bandar Country Homes, Rawang, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata, hasil siasatan lanjut sebaliknya mendapati remaja OKU berumur 16 tahun itu, bertindak menahan sebuah kenderaan yang melalui kawasan itu, semasa dia berjalan seorang diri tanpa pengetahuan ibunya, lapor Bernama.

Beliau berkata, semasa kejadian 9 pagi tadi, ibu mangsa sedang membeli sarapan dan sebuah kereta dipandu seorang lelaki warga emas berumur 80 tahun telah berhenti, sebelum membenarkan remaja OKU itu menaiki kenderaannya.

“Lelaki terbabit membenarkan remaja berkenaan berbuat demikian kerana beranggapan dia meminta pertolongan.

“Ibu mangsa berumur 54 tahun yang kemudiannya menyedari ketiadaan anaknya lantas bertanya kepada peniaga di kawasan berhampiran, sebelum dimaklumkan anaknya telah mengikut seorang lelaki dengan menaiki sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kelabu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Zainal Mohamed berkata, hasil siasatan awal mendapati seorang kenalan kepada ibu remaja itu telah memuat naik kejadian yang berlaku itu di beberapa kumpulan WhatsApp, sehingga kereta yang membawa anaknya berjaya ditemui orang awam di Saujana Rawang, pada kira-kira 12.30 tengah hari.

“Ibu mangsa bagaimanapun mendapati anaknya dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kecederaan berlaku.

“Hasil siasatan lanjut mendapati lelaki yang didakwa melarikan remaja itu, tidak pasti arah tuju hendak membawa remaja itu, kerana dia hanya mendiamkan diri sehinggalah kereta lelaki berkenaan ditahan beberapa orang awam di sekitar Saujana Rawang,” katanya.

Beliau berkata siasatan kes ini tidak ada kaitan denga kes culik dan ibu mangsa yang membuat laporan polis kes itu, telah menarik kembali laporan polis yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai kes Orang Hilang.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu