Nation
476

Kes ubah wang haram ditangguh, Shafee jalani kuarantin kendiri

Kuala Lumpur – Perbicaraan kes peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang berdepan pertuduhan pengubahan wang haram dan membuat kenyataan palsu, akan bersambung di Mahkamah Tinggi pada 27 Ogos ini.

Dia berdepan dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta didakwa diterima daripada Datuk Seri Najib Razak dan dua pertuduhan membuat kenyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee berkata, perbicaraan kes yang dijadualkan bersambung hari ini, ditangguhkan kerana tertuduh menjalani kuarantin kendiri sehingga 1 Ogos selepas menjadi kontak rapat pesakit COVID-19.

“Oleh itu perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin akan bersambung pada 27 Ogos,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Setakat ini, tiga saksi sudah memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 21 Mei lalu.

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan bekas perdana menteri itu dan dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan terbabit dalam transaksi hasil aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014, lapor Bernama.

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu