KUALA LUMPUR — Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan pihak pembelaan menganalisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membabitkan kes dihadapi warga Israel, Avitan Shalom.
Hakim Norina Zainol Abidin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam yang mewakili tertuduh, Jeffrey Ooi berkongsi rakaman berkenaan dengan pakar bagi dianalisis, lapor Berita Harian.
Timbalan Pendakwa Raya Rulizah Abd Majid sebelum itu menyerahkan salinan rakaman terbabit kepada pihak pembelaan dan memohon ia tidak dikongsi kepada pihak lain atau tontonan umum.
Norina menetapkan 30 September ini untuk sebutan semula kes bagi menentukan tarikh perbicaraan baharu.
Ia susulan permohonan Rulizah kerana Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam mempunyai perbicaraan kes lain.
Mei lalu, mahkamah menetapkan 30 September sehingga 11 Oktober depan untuk tarikh perbicaraan.
Shalom, 38, didakwa atas dua pertuduhan pindaan memperdagang enam pucuk pistol pelbagai jenis dan memiliki 200 peluru di sebuah hotel di ibu negara, Mac lalu.
Bagi pertuduhan pindaan pertama, dia didakwa memperdagang enam jenis pistol antara 6.46 petang, 26 Mac dan 6 petang, 28 Mac lalu di Hotel Four Seasons, Jalan Ampang, di sini.
Enam pistol berkenaan ialah Glock 19 USA 9x 19 (sebelum ini 9x 10), Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9×19, M&P (sebelum ini N&P), 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F (pindaan pada nombor siri).
Dia dituduh mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntuk hukuman penjara minimum 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sebat tidak kurang enam kali.
Pertuduhan pindaan kedua membabitkan pertambahan bilangan peluru, pada masa, tarikh dan tempat sama.
Shalom didakwa memiliki satu kotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd yang masing-masing mengandungi 50 butir peluru, 16 butir peluru yang berada di dalam senjata api Glock 17, 11 butir peluru yang berada di dalam senjata api, M&P 9C Smith & Wesson dan 15 butir peluru dalam senjata api, Stoeger Cougar 8000F.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntuk hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.