Nation
205

Kes Zulfarhan: 20 saksi pembelaan selesai bagi keterangan

Kuala Lumpur – Kesemua 20 saksi pembelaan dalam perbicaraan kes membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain telah selesai memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini.

Mereka ialah 18 tertuduh yang juga penuntut UPNM manakala dua lagi saksi ialah Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan dan penuntut UPNM Muhammad Alif Farhan Aerosni merupakan saksi pembelaan terakhir yang ke-20 selesai memberikan keterangan pada Selasa lepas (30 Mac).

Pada prosiding perbicaraan kes itu Selasa lalu (30 April), Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil saksi pendakwaan ke-30 iaitu pegawai perubatan di sebuah klinik swasta, Dr Harniza Kosnan bagi menyangkal dakwaan Dr Rahayu kemungkinan Zulfarhan mempunyai masalah kesihatan.

Dr Harniza ketika membacakan penyataan saksinya hari ini berkata keputusan kesihatan Zulfarhan semasa kemasukannya ke universiti itu adalah FE (Fit Everywhere) atau lulus untuk menjalani latihan ketenteraan di UPNM.

Beliau berkata kali terakhir Zulfarhan menjalani pemeriksaan kesihatan tersebut adalah semasa kemasukan Zulfarhan sebagai pelatih tentera UPNM pada tahun 2014.

“Status FE diberikan apabila seseorang pelatih itu telah menjalani pemeriksaan fizikal secara menyeluruh dan didapati tiada sebarang penyakit atau kecacatan,” katanya ketika memberi keterangan pada prosiding bela diri 18 pelajar UPNM terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Beliau berkata sepanjang Zulfarhan menuntut di UPNM dia (Zulfarhan) tidak pernah hadir ke pusat kesihatan universiti itu mengadu kesukaran atau kesesakan nafas, sakit jantung, atau apa-apa penyakit lain.

Dr Harniza yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai perubatan di UPNM dari tahun 2013 hingga 2018 berkata Zulfarhan pernah hadir ke pusat kesihatan UPNM sebanyak empat kali kerana mengalami demam dan sakit lutut kiri.

Ketika pemeriksaan utama Joy Jothi mengenai status FE, Dr Harniza berkata ia diberikan setelah seseorang pelatih menjalani pemeriksaan fizikal secara menyeluruh dan didapati tiada sebarang penyakit atau kecacatan.

Joy Jothi: Dr, apakah yang dimaksudkan dengan Fit?

Dr Harniza: Setiap kali kemasukan, pelatih kena buat pemeriksaan kesihatan, Fit bermaksud tahap kesihatan secara keseluruhan dari atas hingga bawah adalah normal.

Joy Jothi: Apakah status Zulfarhan?

Harniza: FE (Fit Everywhere), secara keseluruhannya kesihatannya lulus untuk menjalani keseluruhan latihan atau bentuk aktiviti ketenteraan di UPNM.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhammad Akmal Zuhairi Azmal dan Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Dr Harniza bersetuju bahawa beliau tidak mempunyai kepakaran dalam bidang autopsi (bedah siasat) dan patologi.

Dr Harniza juga bersetuju bahawa keterangan mengenai tahap kesihatan Zulfarhan adalah berdasarkan rekod di UPNM semata-mata.

Pada 31 Julai 2019, Hakim Datuk Azman Abdullah, memerintahkan 18 penuntut UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei, 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan juga menghadapi pertuduhan mencederakan mangsa.

Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi 21 Mei, 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung minggu depan. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu