Social
229

Kesan lebam pada tubuh mangsa

Johor Bahru –  Bedah siasat ke atas mayat wanita yang ditembak suami menggunakan senapang angin mendedahkan penemuan baharu termasuk kesan lebam di beberapa bahagian tubuh mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Datuk Md Yusof Ahmad berkata, bedah siasat ke atas mayat selesai dijalankan semalam.

Katanya, polis masih menanti laporan penuh hasil bedah siasat itu dikeluarkan pihak hospital.

“Laporan awal bedah siasat berkenaan mendedahkan kesan lebam di badan mangsa.

“Turut dikesan ialah beberapa butir logam timah dipercayai peluru senapang angin di dada dan perut mangsa kesan tembakan pada jarak dekat.

“Hospital juga akan mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) keluarga mangsa berikutan mereka tidak dapat membuat pengecaman susulan keadaan mayat yang sudah membengkak.

“Proses pengambilan DNA akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam media melaporkan, misteri kehilangan wanita yang didakwa melarikan diri dari rumah akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui secara tragis dalam tong air yang tertanam di sebuah ladang serai di Bandar Penawar.

Lebih memilukan, suaminya yang berusia 43 tahun menjadi suspek utama yang dipercayai menembak mangsa berusia 38 tahun ketika wanita berkenaan sedang tidur di kediaman mereka di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, dilaporkan berkata kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman berkenaan. – Harian Metro

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu