Nation
241

Kesihatan mental jadi keutamaan kerajaan dalam memerangi Covid-19 : Dr Adham

Kuala Lumpur – Menguruskan kesihatan mental merupakan keutamaan tertinggi kerajaan ketika ini bagi memastikan lekuk jangkitan COVID-19 bukan sahaja dapat dilandaikan, tapi juga dapat dibanteras sepenuhnya, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata jangkitan COVID-19 yang sudah berlarutan lebih setahun memberi kesan kepada psikologi manusia, terutama kesihatan mental, bukan hanya dalam kalangan petugas barisan hadapan, tapi juga kepada seluruh penduduk negara secara amnya, dan ia sekali gus menuntut strategi teratur bagi menundukkan kitaran ganas itu.

“Kita perlu menguruskan kesihatan mental menggunakan pendekatan kognitif-tingkah laku, kesedaran dan juga kerohanian. Dengan mengamalkan perkara ini kita boleh tingkatkan penerimaan kita, optimisme, dan komitmen untuk bersedia menerima ‘norma baharu atau yang diperbaharu’,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di Malaysia Healthcare Conference 2021 yang berlangsung secara maya.

Persidangan dua hari dengan tema Accelerating the Transformation of Health Systems in a Pandemic – Challenges & Opportunities itu dianjurkan oleh KSI Strategic Institute for the Asia Pacific (KSI).

Selain itu Dr Adham berkata tahap salah maklumat yang tinggi, teori-teori konspirasi, dan khabar angin yang sengaja dibangkitkan dan disebar meluas oleh media sosial berkaitan COVID-19, hanya akan menjejaskan usaha memerangi pandemik, dalam jangka masa pendek mahupun panjang.

“Banyak pemeriksa fakta bertindak balas terhadap maklumat palsu di media sosial dengan bertindak memadamkannya, atau meletakkan pelbagai tanda amaran; malah Facebook baru-baru ini mengumumkan dasarnya berhubung salah maklumat berkaitan COVID-19 dengan mengatakan ia akan memadamkan sebarang maklumat palsu berhubung vaksin,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Adham berkata pesanan yang konsisten mengenai kepentingan kesihatan awam dan penambahan dana kepada pemeriksaan fakta benar kelihatan amat diperlukan sebagai langkah segera, dan pastinya ia memerlukan kajian dasar, garis panduan, serta peraturan yang berkaitan dengan hak individu terhadap maklumat mengenai COVID-19.

“Pelaksanaan langkah-langkah kesihatan awam yang drastik juga perlu dikaji semula, di samping pentadbiran teknologi baharu yang berasaskan kepada penyelesaian dalam penjagaan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata COVID-19 juga menuntut kepada kepentingan pembaharuan dalam penjagaan kesihatan di samping menekankan kepada kepentingan ekuiti dan akses kesihatan bagi komuniti.

Menurutnya sejak lebih setahun penularannya, COVID-19 membawa perubahan besar kepada sistem penjagaan kesihatan di seluruh dunia, dan salah satu kesan besar adalah dari segi menyegerakan transformasi digital penjagaan kesihatan secara global.

Dr Adham berkata Malaysia berjaya mewujudkan digital respons COVID-19 dengan enam fokus utama, yakni risiko strategik dan komunikasi; penglibatan komuniti; keefisienan operasi; pandangan jauh dan mendalam; infrastruktur dan penambahbaikan; serta penyelidikan dan ujian klinikal, lapor Bernama.

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu