Nation
311
0

Ketawakan guru sains DidikTV perbuatan buli siber: Saifuddin

Kuantan – Tindakan sebahagian warganet mengecam dan mentertawakan, penyampaian seorang guru sains semasa mengajar dalam bahasa Inggeris di saluran televisyen pendidikan DidikTV, merupakan satu perbuatan buli siber, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau yang melahirkan rasa simpati terhadap guru wanita itu berkata, masyarakat seharusnya mengambil kira bahawa guru tersebut bukan seorang pelakon profesional, dan mungkin tidak pernah mengikuti latihan sebelum penggambaran bagi rakaman berkenaan dibuat.

“Beliau tidak patut ‘dibalun’ kerana hanya menjalankan tugas sebagai pendidik… saya juga beranggapan tidak sesuai jika Kementerian Pendidikan (KPM) diperlakukan (dikecam) sedemikian, kerana ini perkara yang baharu dimulakan dan sudah tentu ada kelemahan di sana sini.

“Kelemahan ini perlu difahami dan disusuli dengan usaha membaiki keadaan, bagi memastikan kandungannya lebih baik dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Parlimen Indera Mahkota, di Pejabat Parlimen Indera Mahkota di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) juga bersedia menawarkan bantuan kepada KPM, dalam penyediaan kandungan DidikTV, memandangkan kementerian mempunyai kepakaran yang boleh dimanfaatkan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), dalam aspek penggambaran.

Saifuddin juga mengulangi pendirian KKMM, bahawa suatu akta anti buli siber perlu diwujudkan bagi menangani masalah tersebut, yang boleh menyebabkan mangsanya berdepan masalah seperti kemurungan, selain pernah berlaku kejadian bunuh diri yang dipercayai berpunca daripada buli siber.

“Kita tidak tahu jumlah mereka yang menjadi mangsa buli siber, kerana ramai yang tidak membuat laporan, sama ada kerana tidak tahu boleh membuat laporan atau berpendapat tidak ada tindakan yang boleh diambil jika membuat laporan. Kita tidak boleh salahkan mereka kerana berpandangan begitu.

“Kita ada undang-undang seperti Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan Kanun Keseksaan, namun berkaitan dengan buli siber, kajian oleh KKMM dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU) sebelum ini mendapati, lebih 80 peratus pengamal undang-undang berpendapat kita memerlukan undang-undang khusus bagi buli siber,” katanya.

Sehubungan itu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota menjelaskan, KKMM sedang menyiapkan kertas Kabinet untuk mendapatkan keputusan dasar, selain sudah memulakan draf awal rang undang-undang anti buli siber, supaya ia dapat dipercepatkan sebaik sahaja Parlimen mula bersidang.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata MyDIGITAL dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia, yang dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara dalam talian semalam, menjadikan Malaysia sebagai salah satu negara pertama di rantau ini, yang membina ekosistem 5G.

Ini membolehkan rakyat Malaysia mula menikmati teknologi 5G secara berperingkat menjelang hujung tahun ini, iaitu setahun lebih awal berbanding perancangan asal di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), yang diumumkan Ogos tahun lalu. — Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu