Social
351
0

Ketua, ahli sindiket dadah didakwa

Johor Bahru -Ketua sindiket dadah terbesar negara dan empat lagi ahli sindiket itu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas 18 pertuduhan mengedar dadah, awal bulan lalu.

Lima tertuduh berkenaan membabitkan ketua sindiket, Goh Chee Kuang, 44, dan teman wanitanya, Lee Chia Hui, 33, serta Bally Paw Shaw Kiat,38, dan dua beradik, Lye Chang Pung, 39 serta Lye Chang Lim, 36, tetapi tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat.

Chee Kuang, Chia Hui dan Chang Lim masing-masing menghadapi tiga pertuduhan, manakala Chang Pung berdepan lima pertuduhan serta empat pertuduhan bagi Shaw Kiat.

Mereka secara bersama didakwa mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar beberapa jenis dadah berbahaya termasuk ketamin dan methamphetamine seberat antara 102 gram (g) hingga 210 kilogram (kg) dan sabit kesalahan boleh dihukuman mati mandatori.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Mount Austin, Taman Baiduri dan Taman Setia Indah di sini, antara 9 hingga 15 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faizal Noor Hadi dan Suriani Ujang, manakala semua tertuduh diwakili peguam Datuk Micheal K L Chee serta Kevin Quah Kai Weng.

Mahkamah menetapkan 26 April ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

Media sebelum ini melaporkan, polis Johor berjaya membuat 23 serbuan di lokasi berbeza sekitar Johor Bahru, sekali gus membongkar aktiviti sindiket membabitkan lima stor penyimpanan dadah dan dua makmal haram memproses dadah, antara 8 hingga 17 Januari lalu.

Dalam serbuan itu, polis menahan 17 ahli sindiket termasuk tujuh wanita tempatan berusia antara 17 hingga 62 tahun, namun empat daripadanya dibebaskan dan akan dijadikan saksi pendakwaan di mahkamah.

Keseluruhan dadah dirampas bernilai RM327 juta yang boleh menampung 16.7 juta penagih. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu