Social
227

Ketua ajaran PMYT ditahan

Kuala Lumpur – Ketua ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) iaitu wanita berusia 39 tahun digelar Sittah Annur ditahan polis, di sini, pagi ini.

Sumber berkata, wanita itu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields yang melakukan serbuan di rumahnya di Shah Alam, di sini.

Katanya, peniaga wanita yang sudah berumah tangga itu disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (kesalahan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemuliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Skuad Khas Harian Metro dimaklumkan, kenyataan lanjut mengenai penahanan berkenaan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Malam tadi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook (FB) Masitah Ab Jalar atau dikenali dengan nama Sittah Annur yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan ajaran sesat PMYT.

Menurutnya, siasatan menjurus kepada penularan beberapa rakaman video mengandungi kenyataan yang menyentuh aqidah serta ajaran Islam melalui akaun YouTube Cahaya Islam dan S’ttah An Nur PMYT serta di pelbagai platform media sosial sejak beberapa hari yang lalu.

“Antara kandungan rakaman video yang tular adalah pengakuan wanita terbabit mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah, malaikat dan Nabi Muhammad SAW.

“Beliau turut mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya sebagai panduan untuk umat yang lain dan sesiapa yang menyakiti atau menghalang dirinya dari menyampaikan ajaran boleh dicabut nyawa oleh Allah,” katanya.

Ajaran PMYT mula didedahkan secara eksklusif pada 29 Ogos lalu yang pendedahannya disambut dengan siri laporan polis terhadap kumpulan itu di seluruh negara. Untuk rekod, terdapat 13 laporan polis dibuat terhadap kumpulan itu.

Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.

Selain bercerita mengenai peperangan itu, Sittah Annur turut mendakwa dirinya beryaqazah dengan malaikat dan bertemu secara jaga (sedar) dengan Nabi Muhammad SAW dan merangka pelan keluar bersama pengikutnya jika peperangan berlaku.

Malah, bagi meyakinkan pengikutnya, Sittah Annur turut dikesan menjaja nama beberapa orang pemimpin negara, pemimpin dunia dan tokoh agama sebagai khalifah kepada ajarannya itu.

Susulan pendedahan itu juga, Selain Mufti negeri, pihak berkuasa agama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengarahkan PDRM untuk mengambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kepada mana-mana individu yang cuba menimbulkan kegusaran, menakut-nakutkan dan mengganggu ketenteraman awam termasuk kepada kumpulan PMYT.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata, selain tindakan penguatkuasaan antara pihak berkuasa, pihaknya juga akan berusaha selamatkan pengikut kumpulan PMYT, lapor BH Online.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu