Nation
220

Ketua Polis KL nafi tidak pakai pelitup muka

Kuala Lumpur – Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim menafikan telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak memakai pelitup muka semasa hadir pada sebuah program televisyen seperti yang tular di media sosial.

Beliau berkata pelitup muka hanya dibuka sejurus sebelum wawancara secara langsung untuk slot berita stesen televisyen berkenaan bermula kerana dikhuatiri boleh mengganggu kejelasan mesej yang ingin disampaikan.

“… hanya membuka pelitup mukanya sejurus sebelum wawancara bermula dan terus memakai pelitup muka sebaik sahaja selesai wawancara itu dan pemakaian pelitup muka (itu dibuka) dikhuatiri mengganggu kejelasan penyampaian mesej berkenaan berikutan lokasi wawancara itu agak bising,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi berkata wawancara berkenaan diadakan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, sewaktu beliau turun padang memantau pematuhan SOP di kawasan berkenaan.

Satu video wawancara televisyen melibatkan Azmi dimuat naik oleh seorang individu di platform media sosial TikTok.

Dalam perkembangan lain, polis mempertingkatkan operasi pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap premis berisiko menularkan wabak COVID-19 susulan pengumuman kerajaan mengenai premis tersenarai dalam Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE).

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yong Lei Choo berkata pelaksanaan operasi pematuhan SOP PKP itu adalah pendekatan bagi mengekang penularan wabak dan bukan semata-mata bertujuan untuk mengenakan tindakan kompaun terhadap premis perniagaan atau individu.

“Di mana dalam keadaan berlakunya pelanggaran SOP, pihak polis akan memperingatkan orang ramai supaya mematuhi SOP,” katanya.

Beliau berkata pasukan pematuhan Op COVID-19 yang terdiri daripada pasukan Mobile Patrol Vehicle dan Unit Rondaan Bermotosikal berperanan untuk memperingkatkan masyarakat tentang pematuhan SOP PKP 3.0 ini.

“Pihak polis memahami keterujaaan masyarakat untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi dan mengharapkan masyarakat terus bekerjasama mematuhi segala SOP ditetapkan kerajaan bagi mengelak penularan wabak COVID-19,” katanya.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi Hotline Kuala Lumpur di talian 03 21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu