Social
240

Ketum bernilai RM64,500 dirampas, 10 kenderaan disita

Kota Bharu – Serbuan mengejut sepasukan anggota Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) ke sebuah rumah di Kampung Air Merbo, Tanah Merah, dekat sini, semalam membawa kepada penemuan sebanyak 2,150 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM64,500.

Pegawai Pemerintah PGA7 Supt Azhari Nusi berkata ketika serbuan yang dilakukan pukul 7 malam itu beberapa lelaki yang berada di rumah terbabit bertindak melarikan diri ke dalam semak berdekatan dan berjaya lolos.

Beliau berkata pihaknya melakukan serbuan itu selepas kira-kira sejam menerima maklumat dan melalui intipan yang dilakukan, didapati beberapa kereta dengan nombor pendaftaran yang sama berulang alik dari kawasan Jedok ke Kampung Air Merbo.

“Ketika serbuan, beberapa lelaki dilihat melarikan diri ke bahagian belakang rumah dan gagal dikesan.

“Pemeriksaan lanjut termasuk di bangsal, garaj dan ruang tamu rumah, anggota PGA7 menemukan longgokan plastik lut sinar berisi daun kehijauan disyaki daun ketum,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Jelasnya turut ditemui adalah lima telefon bimbit pelbagai jenama yang ditinggalkan oleh suspek yang melarikan diri.

Selain itu, turut ditemukan di kawasan rumah tidak bernombor itu adalah enam kereta Proton Preve, Proton Wira, Perodua Kelisa, Toyota Vios, Perodua Myvi dan sebuah Mitsubishi Pajero.

Katanya empat motosikal iaitu tiga Yamaha dan sebuah Honda Ex -5 Class ditemukan di dalam garaj rumah yang dipercayai digunakan bagi aktiviti penyeludupan daun ketum.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan adalah sebanyak RM243,250.00,” katanya.

Kesemua barang kes telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu