Nation
140

Khairuddin tidak sebut nama Najib dalam laporan polis berhubung isu 1MDB : Defendan

Kuala Lumpur – Bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Habibi Majinji memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan tidak menyebut nama mana-mana individu termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam laporan polis yang dibuatnya berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Semasa peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Khairuddin merujuk laporan polis yang dibuat anak guamnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 12 Dis 2014, Habibi, 46, bersetuju dengan peguam itu bahawa laporan polis hanya menyatakan kesangsian Khairuddin terhadap urus tadbir syarikat 1MDB.

“Laporan polis itu kemudian dirujuk kepada unit siasatan jenayah Bukit Aman,” kata Habibi semasa disoal balas Mohamed Haniff pada hari ketiga perbicaraan kes saman Khairuddin terhadap bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan tujuh individu lagi berhubung penahanan dan pendakwaannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon.

Mohamed Hanif: Adakah ACP (Habibi) setuju bahawa Khairuddin juga ada memuat naik komen mengenai isu 1MDB di akaun Facebooknya, namun tidak menyebut nama mana-mana individu termasuk Najib.

Habibi: Setuju.

Habibi, selaku defendan ketiga dalam kes saman itu turut bersetuju dengan cadangan Mohamed Haniff bahawa laporan media berkaitan kenyataan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung penubuhan pasukan khas untuk menyiasat isu 1MDB tidak merujuk kepada mana-mana pihak.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa Najib telah mengeluarkan kenyataan yang mana dakwaan terdapat kemasukan wang ke dalam akaun peribadinya adalah tuduhan liar dan mensabotaj kerajaan.

Terdahulu, semasa membacakan penyataan saksinya, Habibi berkata beliau membenarkan permohonan Pegawai Penyiasat di Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ASP C. Muniandy untuk melanjutkan penahanan terhadap Khairuddin selama 28 hari di bawah SOSMA bagi tujuan siasatan lanjut mengikut Seksyen 124K dan Seksyen 124L Kanun Keseksaan.

“Saya berpuas hati bahawa permohonan lanjutan penahanan Khairuddin adalah kerana Muniandy memerlukan saksi dan dokumen untuk menjalankan siasatan terhadap kes itu,” katanya yang kini bertugas sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah ketika menjawab soalan Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi.

Pada Mei 2018, Khairuddin memfailkan saman itu terhadap ASP Wan Aeidil Wan Abdullah dan Muniandy, kedua-duanya pegawai penyiasat di Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Timbalan Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi Supt Habibi Majinji dan Khalid yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga keempat.

Turut dinamakan sebagai defendan kelima hingga kelapan ialah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud, Peguam Kanan Persekutuan Awang Armadajaya Awang Mahmud, bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Kerajaan Malaysia.

Khairuddin mendakwa beliau telah ditahan pihak berkuasa pada 18 Sept 2015 mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan dan pada 23 Sept tahun sama selepas dibebaskan, plaintif ditahan semula mengikut SOSMA dan telah berada dalam tahanan sebelum dituduh di Mahkamah Majistret di sini mengikut Seksyen 124L akta sama atas dakwaan cuba melakukan sabotaj pada perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

Secara keseluruhan, plaintif telah ditahan selama 60 hari di penjara Sungai Buloh dan pada 12 Mei 2017, mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan tidak akan meneruskan pendakwaan terhadap plaintif dan Khairuddin dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Plaintif mendakwa tindakan semua defendan menahan dan mendakwanya di mahkamah dilakukan dengan niat jahat dan melanggar hak kebebasannya di bawah Perlembagaan Persekutuan selain mendakwa reputasi dan imejnya sebagai ahli politik telah terjejas.

Mahkamah menetapkan 28 Mei untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh sambung perbicaraan. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu