Nation
200

Khairy cadang Kertas Putih KKM, reformasi sistem kesihatan negara

Kuala Lumpur – Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata beliau mencadangkan penyediaan satu kertas putih Kementerian Kesihatan (KKM), bagi membolehkan reformasi sistem kesihatan negara dapat dibuat terutama dalam memastikan ia kalis masa depan.

Jelasnya perkara itu telah disuarakan kepada Bahagian Perancangan KKM untuk dibentangkan di Parlimen bagi mendapatkan sokongan bipartisan, sama ada wakil rakyat daripada kerajaan ataupun daripada pembangkang.

“Saya cadangkan sebagai strategi pelaksanaan adalah penubuhan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan yang boleh bertanggungjawab kepada Parlimen, dan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan ini adalah badan pelaksana kepada segala perubahan dan reformasi yang telah pun dipersetujui bersama, dalam Kertas Putih.

“Ini bagi memastikan apabila Menteri baharu datang, tidak akan ada apa-apa perubahan, sebab KKM dan Menteri fokus kepada dasar dan pelaksanaan dasar,” katanya pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di Dewan Serbaguna KKM di Putrajaya, dua hari lepas (13 Jan).

Mengulas lanjut, Khairy berkata sistem kesihatan negara perlu dipastikan kalis masa depan, dengan memastikan segala keperluan kesihatan awam dipenuhi menerusi peruntukan sewajarnya dan mencukupi kepada KKM.

Jelasnya peruntukan mencukupi untuk KKM menerusi belanjawan negara adalah amat penting, dalam memastikan negara bersedia dalam menghadapi sebarang situasi luar jangka dan beban rawatan dalam jangka panjang.

“Kita perlu membina kes bahawa penjagan kesihatan memerlukan lebih banyak peruntukan. Selalunya kita akan hantar keperluan kita kepada Perbendaharaan namun kita perlu mengambil peluang, di mana negara berhutang kepada sistem kesihatan awam negara. Sekali dalam generasi ini peluang untuk kita minta apa sepatutnya, selayaknya diberikan kepada KKM,” katanya.

Jelasnya reformasi dalam sistem kesihatan negara juga tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek peruntukan secukupnya, tapi juga melibatkan pembiayaan penjagaan kesihatan dengan memikirkan bagaimana beban kesihatan ini boleh dikongsi bersama dengan rakyat.

“Apakah kita masih akan mengamalkan sistem subsidi untuk semua tanpa mengira pendapatan, ataupun kita akan beralih kepada satu sistem di mana mereka yang mampu bayar, boleh bayar lebih sedikit daripada apa yang mereka bayar sekarang,” katanya.

Dari segi teknologi, Khairy ingin melihat hospital awam pertama dengan 5G di Malaysia akan menjadi rujukan kepada hospital-hospital di kawasan luar bandar yang juga boleh menggunakan 5G bagi melaksanakan prosedur-prosedur yang selama ini tidak boleh digunakan kerana ketiadaan teknologi 5G.

“Saya mahu supaya hospital dan kemudahan-kemudahan kita lebih mesra alam sekitar menggunakan teknologi hijau. Banyak bangunan baharu kita telah memenangi indeks bangunan hijau dan sebagainya, tetapi kita perlu sebagai sebuah kementerian, kita perlu komited untuk lebih lestari,” katanya.

Menyentuh aspek industri perubatan tempatan, Khairy berkata KKM juga seharusnya terlibat dalam pembangunan industri berkenaan secara menyeluruh dan jelas, yang melibatkan farmaseutikal, peralatan dan pelancongan kesihatan.

“Manakala dari segi kajian dan penyelidikan. Saya mahu NIH (Institut Kesihatan Negara) menjadi pusat kecemerlangan antarabangsa, di mana bukan hanya kajian-kajian yang dihasilkan boleh diguna pakai di Malaysia, tetapi menjadi rujukan kepada negara-negara lain.

“Saya juga ingin memberi fokus kepada TCM (Perubatan Tradisional dan Komplementari) dari segi penyelidikan. TCM adalah satu perkara yang dekat dengan hati masyarakat kita. Tetapi perlu lebih diarusperdanakan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Berhubung aspek keantarabangsaan KKM pada masa hadapan, beliau mahu memperkukuhkan lagi peranan Malaysia di peringkat antarabangsa, terutamanya mengambil pengajaran daripada pandemik COVID-19 dan kepentingan rangkaian antarabangsa untuk mempelajari kaedah baharu bagi mengurus pandemik dan kesihatan awam.

“Kami mahu pinjamkan lebih ramai pegawai kita ke organisasi antarabangsa,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu