Nation
266

Khairy dilantik Naib Presiden Persidangan Kesihatan Sedunia ke-75

Kuala Lumpur – Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Naib Presiden Persidangan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-75 yang akan diadakan di Geneva, Switzerland pada 22 hingga 28 Mei 2022.

Khairy menerusi ciapan Twitter beliau yang menzahirkan ucapan terima kasih atas pemilihannya itu berkata suara Pasifik Barat akan dibawa ke persidangan dunia itu nanti.

“Terima kasih kepada semua negara @WHOWPRO kerana sebulat suara memilih Malaysia sebagai Naib Presiden WHA 2022. Kami akan membawa suara Pasifik Barat ke perhimpunan dunia itu khususnya mengenai prinsip ekuiti, solidariti dan akauntabiliti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pelantikan sebagai Naib Presiden WHA itu merupakan satu penghormatan besar kepada Malaysia dan ia akan menjadi peluang untuk meneruskan peranan lebih besar dalam arena kesihatan global.

“Hari ini, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Serantau bagi Pasifik Barat (WPRCM) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke-72 di Himeji Jepun, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah dipilih sebulat suara oleh negara anggota Pasifik Barat sebagai Naib Presiden WHA ke-75.

“WHA terdiri daripada 194 negara anggota dan merupakan badan pembuat keputusan tertinggi WHO. Malaysia diberi pengiktirafan sewajarnya berdasarkan peranan aktif menerusi platform kesihatan global dalam WHA ke-69 pada 2015 dan sekali lagi pada WHA ke-75 tahun hadapan mewakili semua 37 negara anggota dari rantau Pasifik Barat,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.

Dr Noor Hisham berkata Malaysia juga dilantik sebagai lembaga eksekutif WHO dari 2021 hingga 2024, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu