Nation
114

Khairy individu pertama di Malaysia terima suntikan Sinovac

Rembau – Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Sinovac hari ini.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu menerima suntikan dos pertama vaksin keluaran China tersebut di Hospital Rembau pada 1.30 tengah hari.

Beliau tiba di hospital itu pada kira-kira 1.25 tengah hari dan melalui tiga stesen di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebelum disuntik dengan vaksin berkenaan oleh Ketua Penyelia Jururawat Hospital Rembau Salha Abd Samad di stesen keempat dan seterusnya diletak di bawah pemerhatian di stesen kelima.

Stesen pertama ialah untuk saringan gejala dan suhu, diikuti stesen kedua untuk pendaftaran bagi mengesahkan kehadiran untuk suntikan vaksin COVID-19 dan stesen ketiga bagi proses konsultasi dan persetujuan imunisasi.

Turut menerima suntikan pertama vaksin Sinovac hari ini ialah 10 petugas barisan hadapan di Negeri Sembilan.

Khairy sebelum ini memaklumkan negara menerima sejumlah 100,000 dos vaksin Sinovac pada Isnin lepas dan bakal menerima jumlah yang sama 22 Mac ini.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bertemakan “Lindung Diri, Lindung Semua” dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Feb lepas dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin itu. Beliau menerima vaksin jenis Pfizer-BioNTech. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu