Nation
198

Khairy sedia ambil vaksin selain Pfizer untuk beri keyakinan rakyat

Kuala Lumpur – Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin bersedia menerima suntikan apa juga vaksin koronavirus pertama yang diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) selepas ini.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata ia bagi memberi keyakinan kepada rakyat bahawa vaksin yang diperoleh oleh negara adalah selamat dan diberikan tanpa membezakan kedudukan.

“Saya telah meneliti sejak beberapa hari lalu tentang pandangan dan pendapat rakyat. Saya lihat Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Noor Hisham Abdullah), menteri-menteri besar serta frontliner telah menerima suntikan Pfizer (Pfizer-BioNTech) dan tidak ada kesan sampingan.

“Sekarang ini rakyat sudah bertanya, semua pemimpin sudah mengambil suntikan vaksin Pfizer kerana barang baik, yang lain semua untuk rakyat biasa. Jadi saya telah ambil keputusan semalam dan saya akan ambil apa sahaja vaksin yang akan diluluskan seterusnya.

“Kalau Sinovac, Sinovaclah, kalau dari Rusia, Rusialah, kalau dari AstraZeneca (Oxford-AstraZeneca), Astra Zenecalah,” katanya selepas menyambut ketibaan vaksin COVID-19 keluaran Sinovac yang diterbangkan dari Beijing, China menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH319.

Pesawat Airbus 330-300 dengan hiasan Jalur Gemilang yang membawa envirotainer mengandungi vaksin COVID-19 dalam bentuk cecair sebanyak 200 liter itu, mendarat pada kira-kira 9 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Vaksin COVID-19 yang dibangunkan firma farmaseutikal China, Sinovac itu diangkut menggunakan pesawat PC2 iaitu pesawat penumpang digunakan untuk perkhidmatan kargo, boleh diproses menjadi lebih 300,000 dos untuk keperluan Malaysia.

Bagaimanapun jelasnya, tindakan beliau tidak mengambil Pfizer-BioNTech bukan bermakna vaksin itu tidak bagus kerana ia telah terbukti selamat dan tidak mempunyai kesan sampingan.

Selain Muhyiddin dan Noor Hisham, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee antara kenamaan yang telah menerima suntikan vaksin Pfizer.

Negara yang dilaporkan telah meluluskan penggunaan vaksin Sinovac setakat ini termasuk Indonesia apabila Presidennya Joko Widodo menjadi rakyat pertama republik itu menerima suntikan vaksin berkenaan. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu