Nation
290

Kilang makanan disyaki punca pencemaran di Sungai Semenyih

Putrajaya – Sebuah kilang berasaskan makanan di Beranang, Selangor telah dikenakan tindakan henti operasi selama dua minggu bermula semalam, kerana disyaki menjadi punca pencemaran sebatian penyebab bau (OCS) di Sungai Semenyih.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam kenyataan hari ini berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor telah membuka kertas siasatan untuk mendakwa pemilik kilang yang disyaki menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas pada 31 Ogos lalu dan yang terkini pada Jumaat lepas (3 Sept).

“Siasatan oleh JAS Selangor pada Khamis dan Jumaat (2 dan 3 Sept) mendapati kilang tersebut beroperasi dan beberapa sampel pelepasan efluen perindustrian dan sampel air sungai di muka sauk telah diambil serta dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisa komposisi kimia.

“Siasatan diteruskan pada tengah malam Jumaat (3 Sept) yang pengawasan kualiti udara dijalankan di takat pelepasan akhir kilang (sebelum ke longkang awam) telah berjaya mencerap beberapa bahan iaitu sebatian organik meruap (VOC) dalam udara yang berbau serta mempunyai persamaan dengan bahan-bahan VOC yang dikesan dalam sampel air berbau semasa kejadian henti tugas LRA Sungai Semenyih pada 31 Ogos lalu,” katanya.

KASA berkata berdasarkan petunjuk terbaru tersebut, pihak JAS telah melaksanakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap kilang di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi menghentikan pencemaran serta-merta dan proses pengeluaran kilang dihentikan sehingga siasatan lanjut selesai dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 25 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling,1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

Kesalahan terhadap pencemaran perairan daratan yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman berdasarkan Seksyen 25(3) Akta yang sama iaitu denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya bagi setiap parameter.

KASA berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga telah mengambil bahan bukti termasuk sampel-sampel efluen dan telah membuka kertas siasatan kes ini di bawah Seksyen 121(1)(C) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) iaitu kesalahan pencemaran terhadap sumber air yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman berdasarkan Seksyen 121 (2)(B) iaitu penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

Henti tugas di LRA Sungai Semenyih berlaku akibat pencemaran OCS yang dikesan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada tahap 2 ton di muka sauk Jenderam Hilir pada jam 5.15 petang Jumaat.

Henti tugas itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan), lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu